NGO sedia beri kerjasama bagi bendung salah laku pelombong bauksit

Bernama
Januari 10, 2016 00:03 MYT
Lokasi pelombong bauksit mengepam air secara haram untuk kegiatan pembersihan mineral sekaligus menyebabkan kehilangan sumber air mentah dan mengundang pelbagai masalah kepada penduduk sekitar di Felda Bukit Sagu baru-baru ini. = Gambar Bernama
Jawatankuasa Penyelaras Masalah Bauksit Bukit Goh sedia memberi kerjasama kepada kerajaan negeri dan pusat bagi membendung sebarang kesalahan yang dilakukan oleh pelombong bauksit di negeri ini.
Pengerusinya Datuk Wahid Manaf berkata badan bukan kerajaan (NGO) itu berupaya untuk memantau sepenuhnya kegiatan perlombongan dan melaporkan salah laku dengan bukti bergambar kepada agensi berkaitan.
"Jawatankuasa kami terdiri daripada peneroka dan anak peneroka Bukit Goh dan hanya kami mengetahui masalah sebenar yang dihadapi penduduk di sini," katanya kepada pemberita di sini, pada Sabtu.
Difahamkan, sejumlah 248 orang daripada 762 peneroka Bukit Goh membenarkan aktiviti perlombongan bauksit dijalankan di tanah mereka dengan melibatkan kawasan seluas 1,005.6 hektar sejak 2013 sehingga kini.
Beliau turut berpendapat tempoh moratorium selama tiga bulan mulai 15 Januari ini sudah mencukupi dan tidak perlu dipanjangkan kerana aktiviti itu menjadi penyumbang kepada pendapatan peneroka terlibat.
"Kita akur dengan keputusan penghentian tiga bulan ini kerana ia memberi waktu kepada kerajaan untuk menambah baik segala kelemahan sebelum ini," katanya.
#bauksit #perlombongan #Wahid Manaf