Skip to main content

Malaysia

NGO serah laporan baharu, nasib tiga gajah DAK dibahas di Parlimen Julai ini

Screenshot Majlis Perbandaran Taiping
Isu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) mendapat perhatian meluas selepas rakaman video yang memaparkan keadaan ketiga-tiga gajah itu di Zoo Tennoji tular di media sosial, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai kebajikan dan kesesuaian penempatan haiwan berkenaan di Jepun. -Foto MPT

PUTRAJAYA: Satu laporan baharu berhubung nasib tiga ekor gajah Malaysia - Dara, Amoi, dan Kelat (DAK) - yang kini berada di Zoo Tennoji di Osaka, Jepun akan diserahkan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

Aktivis pencinta haiwan, Datin Shereen Yunos berkata laporan itu akan digunakan oleh NRES untuk dibahaskan di Parlimen pada 22 Julai depan, dalam usaha membantu kerajaan membuat keputusan berhubung cadangan membawa pulang DAK ke Malaysia.

“Kita nak gajah-gajah kita ini balik duduk di tempat dia, di alam semulajadi dia.

"Kami akan bekerja keras melibatkan kerjasama semua pihak untuk membantu kami bawa DAK pulang,” katanya ketika ditemui media di lobi NRES, di sini, hari ini.

Shereen berkata laporan tersebut disediakan oleh Penasihat Sumber Asli dan Pakar Pemantauan serta Penilaian, William Keith Lindsay, yang mempunyai lebih 50 tahun pengalaman dalam bidang pemuliharaan haiwan.

Jelasnya, laporan tersebut disokong oleh analisis rakaman video sepanjang 155 jam yang memaparkan keadaan dan tingkah laku DAK termasuk dakwaan bahawa haiwan itu menghabiskan tempoh yang panjang di dalam kandang tertutup.

"Bayangkan, gajah yang kebiasaannya berjalan sejauh 20 hingga 30 kilometer sehari terpaksa duduk di dalam sangkar besi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan kandungan penuh laporan itu kerana ia mungkin digunakan untuk tujuan perundangan selain memberi ruang kepada NRES meneliti dapatan yang dikemukakan.

Image
Sallehin/Astro AWANI
Kita nak gajah-gajah kita ini balik duduk di tempat dia, di alam semulajadinya, ujar Shereen.

Sementara itu, Penasihat Pertubuhan Ihsan Haiwan Malaysia (Shelter Ihsan), Norashikin Che Omar mempersoalkan laporan yang dirujuk oleh Majlis Perbandaran Taiping (MPT) pada semalam yang mendakwa DAK berada dalam keadaan baik.

Beliau berkata pihaknya mahu mengetahui sumber serta pihak yang mengeluarkan laporan berkenaan selain mendapatkan penjelasan lebih terperinci mengenai keadaan sebenar haiwan tersebut.

“Kami ingin tahu bagaimana mereka boleh menyimpulkan DAK berada dalam keadaan baik.

"Jika ada laporan berkala, siapa yang mengeluarkannya dan apakah asas penilaian tersebut?” kata Norashikin.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan fizikal Dara dan Amoi yang didakwa mengalami peningkatan berat badan ketara berdasarkan rakaman video.

Bagaimanapun, beliau menegaskan penilaian mengenai keadaan haiwan itu perlu dibuat oleh pakar veterinar dan pasukan bebas yang mempunyai kepakaran khusus hal ehwal gajah.

Sebelum ini, Menteri NRES Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dilaporkan berkata penghantaran DAK ke Jepun pada 10 Mac lalu merupakan sebahagian daripada perancangan konservasi dimulakan lebih 10 tahun lepas melalui perjanjian di antara Zoo Taiping & Night Safari dan Tennoji Zoo.

Isu DAK mendapat perhatian meluas selepas rakaman video yang memaparkan keadaan ketiga-tiga gajah itu di Zoo Tennoji tular di media sosial, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai kebajikan dan kesesuaian penempatan haiwan berkenaan di Jepun.

 

Must Watch Video

Advertisement