Lima puluh satu pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi mendesak agar polis mengambil tindakan tegas ke atas Ketua Menteri Lim Guan Eng berkaitan penubuhan pasukan peronda sukarela (PPS).

Malah mereka juga mahu tindakan segera dikenakan ke atas Guan Eng yang didakwa turut mengeluarkan kenyataan menghasut dan memerangi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Wakil kumpulan itu, Ahmad Yaqub Nazri yang juga Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS) berkata, selepas polis menahan 156 ahli PPS minggu lalu, tindakan sama juga wajar di ambil ke atas Ketua Menteri yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas penubuhan PPS di Pulau Pinang.

Malah mereka juga kesal dengan tindakan ketua menteri itu yang mencabar Ketua Polis Negara berdebat selain mengeluarkan kenyataan menghasut rakyat agar membenci Polis Diraja Malaysia.

Justeru, mereka berharap PDRM akan menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk akta hasutan 1948, untuk mendakwa pemimpin yang dilihat cuba mencetuskan ketegangan dan menggugat keselamatan negara.

Ahmad nazri bersama beberapa wakil NGO yang lain berkata demikian selepas menyerahkan memorandum di ibu pejabat kontinjen polis (IPK) petang tadi.

Memorandum itu diserahkan kepada wakil polis, Inspektor Sarimah Osman.

Antara NGO lain yang terlibat ialah Persatuan Melayu Tanjung (Permata) Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Persatuan Muka Buku, Pertubuhan Kebajikan Al Ehsan Islamiah Malaysia (Al-Ehsan), Persatuan Warga Cinta Negara Malaysia (Pencinta).

Ahad lalu, polis menahan 156 anggota PPS termasuk Pengerusi pasukan itu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang Phee Boon Poh kerana pasukan tidak berdaftar dengan pendaftar pertubuhan (ROS).

Hasil siasatan polis mendapati empat daripada mereka positif dadah, 11 mempunyai pelbagai rekod jenayah antaranya ugutan, samun, curi, membunuh tanpa niat, dadah dan kesalahan mengikut Akta Kastam 1967, manakala seorang lagi ialah anggota kongsi gelap dan pernah ditahan di bawah ordinan darurat.