PUTRAJAYA: Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli yang merupakan satu-satunya hakim menentang petisyen difailkan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman menyifatkan dua beranak itu 'busybody' kerana mencabar 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ketika membaca keputusan penghakimannya lebih sejam, hakim itu berkata, dua beranak itu tiada hak di sisi undang-undang (locus standi) bagi mencabar enakmen terbabit.

“Mereka ‘busybody’ namun tidak menunjukkan senarai peruntukan jenayah syariah Kelantan yang telah melanggar hak berperlembagaan.

“Bantahan mereka hanya mengenai perundangan dan perlembagaan peruntukan negeri, soal perlembagaan itu hanya mengenai kewujudan peruntukan itu,” katanya.

Beliau berkata, pempetisyen telah gagal menyatakan alasan atau menunjukkan kesan mereka terjejas ekoran peruntukan tersebut.

Katanya, faktor kebimbangan sahaja tidak memadai untuk mengemukakan cabaran itu di mahkamah.

Sedangkan beliau berkata, Nik Elin Zurina dan anaknya, mesti menunjukkan hak asasi pempetisyen terjejas secara negatif oleh enakmen negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Abdul Rahman juga berkata, penting bagi suatu badan kehakiman, memastikan hanya pempetisyen yang mempunyai locus standi dibenarkan meneruskan cabaran mereka.

“Kita semua memiliki rasa takut dalam hidup, tetapi jika melibatkan cabaran kepada undang-undang negeri, ia perlu menyatakan asas pencabulan yang berlaku terhadap hak individu.

“Jika tidak, ia hanya akan menyebabkan pihak tertentu termasuk 'kaki sibuk' dengan menyalahgunakan proses undang-undang,” katanya.

Pada Jumaat, Mahkamah Persekutuan di sini mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan yang dipertikaikan, dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai terbatal dan tidak sah.

Keputusan majoriti dicapai dengan lapan hakim menyokong pempetisyen itu manakala seorang menentang.

Selain Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, hakim lain yang menyokong ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri P Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Sebelum ini, peguam, Nik Elin Zurina, 62, dan Tengku Yasmin Natasha, 26, memfailkan petisyen terhadap kerajaan negeri Kelantan dalam usaha mengisytiharkan 18 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.

Lapan belas peruntukan yang dipertikaikan tersebut ialah:

Seksyen 11: Memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat

Seksyen 13: Menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral

Seksyen 14: Liwat

Seksyen 16: Persetubuhan dengan mayat

Seksyen 17: Hubungan seksual dengan bukan manusia

Seksyen 30: Perkataan yang boleh memecahkan keamanan

Seksyen 31: Gangguan seksual

Seksyen 34: Memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau kenyataan palsu

Seksyen 36: Apa-apa yang memabukkan

Bahagian 39: Mengurangkan timbangan, ukuran dan berat

Seksyen 40: Melaksanakan transaksi yang bertentangan dengan 'hukum syarak' (undang-undang syariah)

Seksyen 41: Melaksanakan urus niaga melalui riba

Seksyen 42: Penyalahgunaan label dan konotasi halal

Seksyen 43: Menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat

Seksyen 44: Tindakan persediaan menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat

Seksyen 45: Perbuatan maksiat sebagai persediaan

Seksyen 47: Perbuatan sumbang mahram

Seksyen 48: Muncikari (ibu/ bapa ayam atau perantara pelacuran)

Artikel asal ini diterbitkan di portal Sinar Harian