KUALA LUMPUR: Susulan keputusan petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman yang tidak berpihak kepada Badan Perundangan Kelantan, Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam masa terdekat.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Hamzah memaklumkan beliau juga akan memohon menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) bagi menyembah maklum suara hati rakyat.

Hamzah berkata, jika dibenarkan menghadap Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor, beliau juga akan mencadangkan langkah-langkah penyesuaian yang perlu dilunaskan.

"Meneliti dengan cermat dan sebagai langkah kehadapan, menjadi keperluan untuk pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi maksud memperkasakan undang-undang syariah terutamanya berkaitan Hak Menganut dan Mengamal (profess and practice) majoriti rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Kami menyeru kepada semua pihak berkepentingan untuk duduk semeja tanpa dibatasi sempadan politik bagi menjayakan hasrat ini," katanya.

Dalam kenyataan itu juga Hamzah mendakwa, keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes itu telah menyentuh perasaan seluruh umat Islam.

"Perkembangan ini memperlihatkan adanya kelompongan serius dalam kuasa serta bidang kuasa berkaitan dengan Hak Menganut dan Mengamal (profess and practice) majoriti rakyat Malaysia.

"Kesan daripada keputusan ini akan menggugat Enakmen Jenayah Syariah di seluruh negeri-negeri dalam negara kita yang tercinta ini.

"Ianya akan mendedahkan enakmen negeri-negeri ini kepada risiko pembatalan," tambahnya

Pada Jumaat, Mahkamah Persekutuan memutuskan Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak berkuasa untuk membuat 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata demikian selepas membenarkan petisyen peguam, Nik Elin dan anaknya, Tengku Yasmin selaku pempatisyen bagi mencabar 18 peruntukkan enakmen tersebut.

[TERKINI] 16 peruntukan dalam Enakmen Syariah Kelantan terbatal - Hakim

Dalam ringkasan penghakiman, Tengku Maimun menjelaskan Mahkamah Syariah atau undang-undang Islam di Malaysia tidak akan pada bila-bila masa berkubur dan diletakkan batu nisan kerana Perlembagaan Persekutuan telah menjamin kuasa perundangan kepada semua Kerajaan Negeri untuk menggubal undang-undang yang dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah.

Tengku Maimun juga menegaskan bahawa apa yang dicabar dalam petisyen Nik Elin dan anaknya bukanlah kedudukan undang-undang Syariah di Malaysia.

Semasa membaca keputusan penghakiman yang menyokong, Tengku Maimun berkata, 16 daripada 18 peruntukan itu tidak sah kerana intipati peruntukannya termasuk bawah Senarai Persekutuan.