TEMERLOH: Merasai pengalaman menjalani ibadah berpuasa dan suasana hari raya di inap desa merupakan antara pakej yang ditawarkan menerusi pelancongan mesra Muslim bagi menarik lebih ramai pelancong Muslim ke Malaysia.

Presiden Persatuan Homestay Malaysia Datuk Sahariman Hamdan berkata sebagai pemain industri pihaknya bersedia menawarkan pakej berkenaan di lokasi inap desa terpilih di seluruh negara bagi memulakan inisiatif ini.

Beliau berkata usaha tersebut juga merupakan inisiatif bagi merancakkan Tahun Melawat Homestay pada 2025 dengan mempromosikan inap desa yang terdapat di negara ini.

Menerusi pakej enam hari lima malam itu, pelancong dapat merasai masakan Malaysia iaitu juadah hari raya dan pakaian tradisional selain didedahkan dengan budaya negara antaranya melukis batik, membuat tanjak dan permainan tradisional.

"Mereka akan tinggal di inap desa dan merasai suasana kampung pada bulan puasa selain melakukan ibadah sunat seperti solat tarawih dan memburu lailatulqadar serta akikah...ia merupakan produk baharu bagi menarik pelancong Muslim ke negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutupan International Homestay Islamic Tourism Festival 2023 di sini, hari ini yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Mengulas lanjut, Sahariman berkata pihaknya dengan kerjasama Tourism Malaysia dan Pusat Pelancongan Islam sedang berusaha menyiapkan pemain industri untuk menerima pelancong berkenaan.

Sehingga kini, sebanyak 212 inap desa di seluruh negara bernaung di bawah persatuan itu yang menyediakan sebanyak 10,000 bilik bagi penginapan.

Buat masa ini, beliau berkata beberapa inap desa telah bersedia untuk memulakan pakej berkenaan antaranya di Seberang Perai, Pulau Pinang; Pulau Langkawi, Kedah dan Temerloh, Pahang.

Beliau berkata selain Indonesia pihaknya kini menyasarkan pelancong dari China dan India berikutan kerajaan memberi pengecualian visa kepada pelawat dari dua negara terbabit.

Menyentuh mengenai program semalam, beliau berkata seramai 500 pelancong dari 12 negara antaranya Indonesia, India, Pakistan dan Jepun terlibat dengan festival itu yang peserta ditempatkan di setiap negeri dengan pengisan program antaranya melawat masjid, menikmati masakan dan mengenali budaya negara ini.

-- BERNAMA