Nilai dan semangat yang terkandung dalam Rukun Negara dilihat semakin luntur apabila masyarakat tidak lagi melihatnya sebagai satu pendekatan ke arah pembentukan dan penyatuan negara bangsa.

Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata kelima-lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara juga kini hanya dilihat secara luaran tanpa pengertian mendalam terhadap maksud setiap prinsip itu.

"Prinsip-prinsip itu kini seolah-olah tidak memberikan kepentingan kepada mana-mana pihak, sedangkan setiap nilai dalam Rukun Negara itu dihasilkan selepas kita mengalami kejadian rusuhan kaum pada 1969.

"Setiap satu perkara (prinsip) itu mempunyai nilai signifikan kepada kita dalam konteks kehidupan bermasyarakat pelbagai etnik di negara ini," katanya semasa ditemuramah dalam rancangan 'Langit Biru' terbitan Bernama Radio di sini pada Selasa.

Beliau yang ditemuramah oleh stesen radio tersebut bagi membincangkan topik mengenai pemupukan jiwa dan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

Sivamurugan berkata prinsip Rukun Negara yang sering menghiasi kulit belakang buku nota dan latihan sekolah seharusnya dipandang lebih daripada itu dan diselami sedalam mungkin fungsinya terutama oleh masyarakat negara ini yang berbilang kaum.

Katanya kepentingan prinsip Rukun Negara perlu disuburkan semula agar nilai akidah dan akhlak dalam kalangan rakyat dapat terus disemai dan dibenihkan dengan nilai-nilai murni.

Dalam hal ini, beliau berpendapat adalah amat wajar pemimpin-pemimpin politik memainkan peranan mereka dengan membimbing rakyat ke arah pemahaman secara mendalam terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara.