KUALA LUMPUR: Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia pada bulan Mei 2021 berjumlah RM122.7 bilion bertumbuh sebanyak 37.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata nilai jualan merosot 6.1 peratus berbanding bulan April.

“Peningkatan ketara dalam nilai jualan ini dipacu oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik (48.7 peratus) terutamanya dalam industri pembuatan kok dan produk petroleum bertapis.

"Pengembangan ini juga didorong oleh subsektor produk elektrik dan elektronik (31.0 peratus) yang disokong oleh industri pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal.

"Subsektor produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (59.5 peratus) juga merekodkan peningkatan terutamanya dalam industri pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, jumlah pekerja sektor pembuatan pada bulan Mei 2021 adalah seramai 2,236,459 orang, meningkat 2.8 peratus berbanding 2,175,145 orang pada Mei 2020.

Katanya, peningkatan itu disumbangkan oleh produk elektrik dan elektronik (4.7 peratus) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (4.5 peratus).

Laporan tersebut juga menyatakan jumlah gaji dan upah yang dibayar adalah berjumlah RM7,415.7 juta, meningkat 6.4 peratus atau RM447.8 juta pada Mei 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Pada masa yang sama, nilai jualan per pekerja meningkat 33.4 peratus kepada RM54,875 berbanding bulan yang sama tahun 2020 (Mei 2020: RM41,136).

Sementara itu, purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,316 pada bulan Mei 2021.