Nilai R-naught yang menentukan kadar kebolehjangkitan di negara ini dilihat tidak stabil dan kembali meningkat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan media memaklumkan, pada 23 September 2020, nilai R-naught meningkat kembali kepada 1.34 iaitu melebihi 1.0.

"Kerana itu, lebih banyak usaha perlu dilakukan bersama bagi memutuskan penularan jangkitan COVID-19 di dalam komuniti.

"Di Sabah, pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membangunkan SOP bagi aktiviti berkempen dan mengundi.

"KKM merayu, patuhilah SOP tanpa mengira status dan kedudukan dalam masyarakat. Bantulah negara dalam mengawal penularan COVID-19 ini," katanya.

Sehingga 24 September 2020, terdapat lima kawasan zon merah di Malaysia, empat di Sabah dan satu di Kedah.

Zon-zon merah di Sabah ialah Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna, manakala di Kedah ialah Kota Setar.

"KKM ingin menasihatkan, individu bergejala yang baru mengunjungi atau datang dari zon merah wajib melakukan ujian saringan COVID-19 di fasiliti kesihatan berhampiran.

"Individu tidak bergejala yang baru mengunjungi atau datang dari zon merah juga amat digalakkan untuk melakukan ujian saringan dan kuarantin kendiri bagi melindungi ahli keluarga, rakan-rakan serta masyarakat di sekitarnya," katanya.