KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan (R-naught) COVID-19 di Malaysia kembali mencatatkan peningkatan apabila angka itu meningkat kepada 1.13 pada Rabu berbanding 1.12 hari sebelumnya.

Kedah kekal mencatatkan nilai R-naught tertinggi dengan 1.25, manakala negeri dan wilayah lain yang mencatatkan kadar kebolehjangkitan tinggi dan melebihi angka 1.0 adalah Perak, Melaka, Pahang, Terengganu, Selangor dan Pulau Pinang.

Ini termasuk Negeri Sembilan, Labuan, Johor, Kuala Lumpur dan Sarawak.

Putrajaya, Kelantan dan Sabah merekodkan kadar kebolehjangkitan di bawah angka 1.0.

Sementara itu Perlis satu-satunya negeri mencatatkan 1 kes baharu jangkitan COVID-19.

Setakat ini, kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 13 Januari ialah 0.81 pada 3 Mac lepas.

Manakala yang tertinggi pernah dicatatkan ialah 1.19 pada 17 April lalu.

Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.