KUALA LUMPUR: Arahan supaya mewajibkan kuarantin 14 hari bagi pekerja minyak dan gas di luar persisiran pantai perlu dinilai semula.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Khairil Nizam Khirudin menegaskan, syarat itu adalah tidak adil bagi mereka yang mungkin terpaksa menjadikan tempoh dua minggu bercuti mereka itu sebagai tempoh kuarantin.

“Ini menyebabkan jadual putaran kerja mereka berubah dari dua minggu kerja, dua minggu cuti kepada dua minggu kuarantin disusuli dengan empat minggu kerja dan dua minggu cuti.

“Saya berpendapat bahawa langkah ini seperti menghukum mereka yang seolah-olah mereka adalah kontak rapat kepada pesakit COVID-19 setiap kali sebelum memulakan tugas.

“SOP ini adalah agak keterlaluan untuk mereka lalui dan menyebabkan mereka tertekan,” katanya dalam satu kenyataan di Twitter.


Untuk itu, Khairil mencadangkan supaya pihak bertanggungjawab mengubah beberapa syarat dan beliau sendiri akan mengadakan pertemuan untuk berbincang mengenai isu itu.

Antara cadangan yang dikemukakan olehnya adalah kuarantin di pusat kuarantin hanya selama tiga hari dengan satu ujian PCR sebelum bergerak ke pelantar luar persisiran pantai dengan keputusan PCR yang negatif.

Selain itu, dengan memastikan hanya mereka yang mempunyai risiko rendah COVID-19 di dalam aplikasi MySejahtera sahaja dibenarkan ke pelantar.

Malah, beliau cadang agar memastikan penjarakan sosial dan SOP langkah pencegahan COVID-19 dilaksanakan sebaik mungkin di pelantar.

Khairil mengeluarkan kenyataan demikian selepas mengambil maklum keluhan dan keresahan para pekerja di luar perisiran pantai yang dikenakan kuarantin wajib di bawah ANNEX 14.

Ia melibatkan beberapa buah negeri pengeluar minyak dan gas terutama di Sabah, Sarawak dan juga bakal dikenakan di Kelantan dan Terengganu.