KUALA LUMPUR: Nombor pendaftaran siri FF berjaya memecah rekod kutipan tertinggi dalam sejarah negara sejak bidaan dalam talian dipekenalkan, dengan mencecah nilai keseluruhan hampir RM34.3 juta.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, berdasarkan rekod, FF8 menduduki bidaan tertinggi dengan RM950,000.

"FF8 adalah nombor pendaftaran paling tinggi dibida dengan nilai RM950,000, diikuti FF9 (RM911,999); FF3 (RM639,000); FF2 (RM638,000) dan FF7 (RM633,000).

"Selain itu, lima nombor pendaftaran paling diminati ialah FF199 yang dibida 34 orang, manakala FF51 (32 pembida), diikuti FF155, FF555 dan FF1688 yang masing-masing dibida 29 individu.

"Siri FF amat diminati kerana trend yang dikenal pasti ialah orang ramai sangat meminati (nombor pendaftaran) yang abjadnya sama.

"FF ini saya difahamkan ramai pemilik kenderaan Ferrari yang minat. Sudah tentu FF nombor siri yang sangat istimewa," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini, pada Isnin.

Bidaan nombor pendaftaran siri FF rekod kutipan sebanyak RM34.2 juta


Anthony Loke memberitahu, proses bidaan yang sepatutnya ditutup pada 18 Mei lalu juga terpaksa dipanjangkan selama 24 jam kerana terlalu ramai yang menaikkan jumlah bidaan pada saat akhir dengan keadaan itu menyebabkan sistem Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) tergendala seketika.

Dalam pada itu, beliau berkata, proses bidaan antara 14 hingga 19 Mei lalu, turut merekodkan penyertaan paling ramai membabitkan 34,032 pembida dengan 8,348 pembida berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing.

Menurutnya, setiap pembida dibenarkan untuk membida tiga kali dan pembida tertinggi akan mendapat nombor berkenaan.