PEMAIN skuasy wanita muda negara yang sedang meningkat naik, Noor Ainaa Amani Ampandi, bakal membuat penampilan sulung dalam Kejohanan Dunia 2023 yang berlangsung pada 3-11 Mei depan selepas berjaya melepasi mata kelayakan.

Noor Aina yang melakar dua kejuaraan PSA menyifatkan pertandingan berturut-turut sejak dari awal musim 2023 sememangnya memberi impak kepada mentalnya sementara kekurangan yang perlu diperbaiki ketika ini, hanyalah daripada segi kecergasan dan taktikal di atas gelanggang.

"Saya sekarang berada di Birmingham, semalam baru habis peringkat kelayakan (Kejohanan Dunia)

"Esok saya akan ke Amerika Syarikat untuk menyertai dua kejohanan lagi sebelum menghadapi Piala Dunia.

"Buat masa ini, saya perlu mempersiapkan mental untuk kejohanan berturut-turut ini, jadi saya mungkin hanya berkesempatan untuk berlatih beberapa hari sebelum saingan Kejohanan Dunia. 

"Oleh sebab banyak sangat kejohanan diharungi, saya perlu bersedia daripada segi mental bagi mengatasi kepenatan.

"Saya hanya mahu berikan yang terbaik daripada sebelum ini tanpa perlu dibebani tekanan," katanya. - Stadium Astro