KUALA LUMPUR:Langkah ketat Sarawak dalam menangani penularan COVID-19 mendapat perhatian Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisyam menyifatkan langkah tegas dan berterusan Kerajaan Negeri Sarawak menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah memberi kesan yang amat positif.

“Negeri Sarawak telah mencapai satu R-Naught atau Rt yang amat memberangsangkan iaitu kurang daripada 0.4 dan kes-kes terkawal.

“Orang Sarawak yang balik untuk Krismas atau cuti mereka kena patuh dengan tempoh kuarantin sepuluh hari,” katanya dalam Sidang Media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Tambah Noor Hisham tindakan Sarawak memperketatkan kawalan sempadan juga menyumbang kepada kadar kes COVID-19 yang rendah di negeri itu.

“Sarawak juga memperketatkan kawalan sempadan, jalan-jalan tikus daripada rakyat negara jiran menyeberang.

“Ini adalah satu kaedah terbaik yang kita rasa agar tiada jangkitan berlaku dalam komuniti,” tambahnya.

Sementara itu dalam sidang media berasingan di Kuching, Pengerusi JPBNS, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memaklumkan prosedur kuarantin bagi kemasukan ke Sarawak akan diteruskan.

Langkah dibuat susulan jumlah kes import B (jangkitan dalam negara) yang tinggi iaitu 80 kes.

Daripada jumlah itu, 37 kes dari Semenanjung sementara bakinya dari Sabah.

Untuk rekod, Sarawak pada Isnin mencatatkan dua kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri itu  kini 1,110.

Kedua-dua kes merupakan kes import A iaitu kes jangkitan dari luar negara.