Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa kerajaan supaya menyemak semula pemberian rebat bil elektrik pada kadar 50 peratus kepada semua pengguna dalam meringankan beban isi rumah yang terjejas ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebelum ini kerajaan memberikan diskaun elektrik antara 15 dan 50 peratus bergantung kepada kadar penggunaan.

Presidennya, Datuk Dr Marimuthu Nadason berkata, senario semasa yang menyaksikan pelanjutan PKP telah menjejaskan pendapatan kebanyakkan isi rumah.

Sesungguhnya, kata beliau, pelanjutan tempoh berkenaan tentunya memerlukan rakyat Malaysia untuk terus kekal berada di rumah yang mana secara tidak langsung keperluan untuk menggunakan barangan berasaskan elektrik turut meningkat.

"Sama ada suka atau tidak, penggunaan produk elektrik seperti pendingin hawa, televisyen dan radio dilaporkan meningkat secara mendadak memandangkan penggunaannya kini mencecah kira-kira 14 jam hingga 16 jam," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Ekoran itu, Marimuthu berharap kerajaan dapat memahami penderitaan yang dilalui oleh rakyat pada waktu genting ini.

Bagaimanapun, beliau turut meminta oarang ramai supaya mengelakkan pembaziran elektrik dan memanfaatkan bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan sebaik mungkin.

Dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan baru-baru ini, diskaun 50 peratus diberikan kepada penggunaan elektrik bawah 200 kilowatt, 25 peratus bagi penggunaan antara 201 dan 300 kilowatt sementara 15 peratus bagi penggunaan 301 hingga 600 kilowatt.

Diskaun itu berkuat kuasa bagi tempoh enam bulan mulai bil April tahun ini manakala diskaun dua peratus yang dimaklumkan kerajaan sebelum ini akan terus dinikmati oleh semua pengguna isi rumah.