Tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu dilihat banyak memberi impak kepada pengusaha perniagaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya dari segi kedudukan kewangan yang merudum, serta mengalami kerugian yang besar.

Namun, lain pula kisahnya bagi pengusaha Ketupat Palas Sejuk Beku Hutan Kampung, Che Non Ahmad, yang menyifatkan pelaksanaan PKP, khususnya menjelang musim perayaan, memberi limpahan rezeki buat perniagaannya.

Mana tidaknya, permintaan terhadap ketupat palas sejuk beku yang diusahakannya kini meningkat sekali ganda berbanding 15,000 kilogram ketika bulan Ramadan tahun lalu.

Jelasnya, permintaan yang tinggi itu berpunca daripada perubahan kaedah jualan yang lebih terbuka kepada semua pihak pada tahun ini, supaya pasaran ketupat palasnya dapat diperluaskan, selain pembelian secara pukal oleh pelanggan yang tinggal sekitar Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Katanya, meskipun terpaksa mengurangkan bilangan pekerja tahun ini bagi mematuhi arahan yang ditetapkan kerajaan, khususnya penjarakan sosial dalam kalangan mereka, dia tetap yakin sasaran jualan dapat mencecah sehingga 40,000 kilogram menjelang malam Aidilfitri.

"Apabila kerajaan isytihar PKP, kami berhenti sebentar untuk sementara waktu. Kemudian, apabila keadaan reda sedikit, kami sambung balik, sebab, bimbang tiada (permintaan) di pasaran.

"Tetapi, Alhamdulillah, dengan berkat (usaha), pasaran semakin bertambah daripada tahun sebelum ini. Sebab, PKP ini dilaksanakan sebelum sambutan Hari Raya.

"Ketupat ini sekarang sudah melebihi (sasaran untuk) pasaran, (disebabkan) orang makan sebelum (sambutan) Raya," kata Che Non, 50 tahun, yang mengusahakan perniagaannya dari rumahnya di Hutan Kampung, di sini.

Che Non telah mengusahakan perniagaan ketupat palas sejak 15 tahun lalu. - Foto Astro AWANI

Bagaimanapun, dia turut menegaskan, wujud beberapa kekangan bagi mengusahakan jualan ketupat palasnya dalam tempoh PKP, terutama dalam mendapatkan bekalan bahan mentah seperti beras pulut, daun palas, jagung dan juga pulut hitam.

Jelasnya, dia terpaksa mengupah dua orang 'runner' berlesan untuk proses penghantaran ke dalam dan luar negeri Kedah bagi memudahkan orang ramai mendapat ketupat memandangkan mereka sukar untuk keluar dari rumah sepanjang tempoh PKP.

"Kekangannya ialah sebab pergerakan kita terbatas. Kita kena dapatkan surat dari pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum kita mulakan pergerakan.

"Jadi, proses mencari bahan mentah itu jadi agak terbatas, hendak menyediakan bahan-bahan jadi agak terhad sedikit," katanya, sambil menambah, tahun ini dia terpaksa mengurangkan pekerja kepada hanya dua hingga empat orang, bergantung kepada permintaan.

Che Non dibantu beberapa pekerja menyiapkan tempahan ketupat palas yang diterima. - Foto Astro AWANI

Sementara itu, seorang pelanggan yang ditemui berkata, cara penyediaan ketupat yang mudah dan harga yang berpatutan menyebabkan dia serta keluarga menjadi peminat setia ketupat palas yang diusahakan Che Non sejak 15 tahun lalu itu.

"Ketupat sejuk yang dijual juga boleh dikukus dan dimakan pada bila-bila masa, tidak hanya pada musim perayaan tertentu," kata Mohd Zaki Syafiq Zulkifli, 26 tahun.

Sehingga kini, Perusahaan Ketupat Palas Sejuk Beku Hutan Kampung telah mengeluarkan empat jenis ketupat yang berbeza untuk dijual seperti ketupat palas biasa, ketupat palas jagung, ketupat palas kacang dan ketupat pulut hitam.

Selain jualan ketupat yang dijual dengan harga RM24 sekilogram itu, Che Non turut menjual rendang daging dan ayam sejuk beku, serunding daging dan serunding ayam.