Semua sektor pekerjaan di negara ini bakal menyaksikan perubahan ketara dalam tempoh terdekat kesan daripada pandemik COVID-19.

Pensyarah Kanan Sumber Manusia dan Hubungan Industri, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Dr Balakrishnan Parasuraman berkata, perubahan itu bagaimanapun akan berlaku secara berperingkat berdasarkan keperluan semasa.

Katanya, beliau juga tidak menolak bahawa aspek revolusi industri 4.0 (IR 4.0) akan digunakan dalam semua industri baik sektor kerajaan hingga perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Tidak dinafikan landskap pekerjaan akan mengalami perubahan dari segi operasi dan pengurusan.

"Contoh terdekat yang boleh kita lihat hari ini ialah penekanan untuk bekerja di rumah dan ini fenomenma baharu yang berlaku sekarang dan saya jangka ia akan berterusan," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Balakrishnan juga tidak menolak kemungkinan banyak peluang pekerjaan akan hilang jika aspek IR 4.0 dipraktikan secara menyeluruh.

"Ada beberapa pekerjaan berkemungkinan akan hilang selepas ini dan pengurangan penggunaan tenaga juga akan berlaku.

"Isu ini bukan hanya berlaku di negara kita, malah norma baharu ini wujud di seluruh dunia.

"Sehubungan itu, kita tidak boleh salahkan majikan dan pekerja kerana pemberhentian ini berlaku disebabkan majikan tidak dapat jalankan operasi seperti sebelum ini," jelasnya.