MALAYSIA
Normal baharu: Penduduk buka saluran radio dalam talian untuk sampaikan maklumat

Pooi Yee berkata, radio itu bukan hanya untuk menghiburkan tetapi juga menyebar maklumat kepada penduduk setempat.
Dengan tujuan menyebarkan maklumat secara berkesan di peringkat komuniti sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penduduk perumahan Ivory Satu Bandar Tasik Puteri, Rawang menubuhkan saluran radio dalam talian dinamakan Ivori 1.fm.
Pengerusi kawasan itu, Muhamad Azhan Ramli berkata, kemudahan berkenaan dapat mengeratkan hubungan penduduk setempat selain menjadi medium hebahan pelbagai informasi dan program di kawasan berkenaan.
“Sebenarnya tujuan sauran radio ini ditubuhkan adalah untuk menyebarkan maklumat di peringkat komuniti kita sahaja. Bagaimanapun kita luaskan ke Bandar Tasik Puteri seterusnya ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang.
"Ia boleh boleh diikuti secara langsung di Facebook dan Youtube," katanya di sini.
Beliau berkata, saluran radio itu juga digunakan untuk membantu mengiklankan produk termasuk peniaga yang menjual makanan untuk berbuka puasa.
Ahli Majlis MPS Zon 18, JC Jess Choy Pooi Yee berkata, radio itu bukan hanya untuk menghiburkan tetapi juga menyebar maklumat kepada penduduk setempat.
“Semasa PKP ini, ia sebagai satu saluran yang baik untuk kita menyebarkan maklumat penting kepada penduduk di sekitar Zon 18. Saya amat menghargai usaha ini,” katanya.
Sementara itu, Penerbit Radio Ivory Satu, Marzuki Mad Daud berkata, radio itu diwujudkan untuk menyampaikan maklumat terkini membabitkan penduduk Tasik Puteri.
“Ini inisiatif warga Tasik Puteri juga untuk kita mendengar apa yang kita siarkan ke hawa telinga pendengar dan memberi tahu apa aktiviti berlaku di sini,” ujarnya.
Dalam pada itu, penyampai radio berkenaan, Feroz Hassan berkata, kewujudan radio itu membantu menghebahkan maklumat kepada penduduk setempat dan memberi peluang kepada mereka berkongsi maklumat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami