KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim komited memerangi aktiviti perlombongan haram unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dengan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit.

Menurut menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, pihaknya juga bekerjasama erat dengan pihak-pihak yang mempunyai bidang kuasa termasuk kerajaan negeri.

“Kita juga bekerja sama erat dengan kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan unsur nadir bumi ini dilakukan dengan lestari dan selari dengan dasar-dasar yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau serta Produk Eko-Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2024 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) hari ini.

Beliau mengulas titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap pengawai penguat kuasa yang bersekongkol dengan aktiviti pelombongan haram NR-REE.

Baginda bertitah, pencerobohan dan operasi secara haram itu akan menyebabkan ketirisan hasil negeri, di samping menyebabkan berlakunya aktiviti perlombongan tidak terkawal dan tidak mengikut garis panduan yang dibimbangkan berpotensi memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan kesihatan masyarakat.

Baginda turut menegaskan bahawa perbuatan seperti  ‘harapkan pegar, pegar makan padi’  dalam kalangan pegawai penguat kuasa yang bersekongkol haruslah disiasat segera tanpa sebarang kompromi.

Pada Disember lalu, media melaporkan seramai 31 individu termasuk 21 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan aktiviti penerokaan bahan mentah NR-REE secara haram di Hutan Simpan Bintang Hijau, Hulu Perak.