Skip to main content

Malaysia

NRES cadang tubuh jawatankuasa kebangsaan tangani isu kemasukan sisa elektronik haram

𝐋𝐀𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍 πŠπ„π‘π‰π€ πŒπ„ππ“π„π‘πˆ π“πˆππ‰π€π” 𝐒𝐓𝐀𝐓𝐔𝐒 𝐏𝐄𝐍𝐀𝐇𝐀𝐍𝐀𝐍 πŠπŽππ“π„ππ€ 𝐄-𝐖𝐀𝐒𝐓𝐄 𝐈 πŸπŸ– π…π„ππ‘π”π€π‘πˆ πŸπŸŽπŸπŸ”  Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Dato' Sri Arthur Joseph Kurup telah mengadakan lawatan kerja ke Pelabuhan Klang pada hari ini untuk meninjau status penahanan kontena yang mengandungi sisa elektronik atau e-waste. FB  Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES)
Arthur mengadakan lawatan kerja ke Pelabuhan Klang pada Sabtu untuk meninjau status penahanan kontena yang mengandungi sisa elektronik atau e-waste. - Facebook NRES

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bercadang untuk menubuhkan Jawatankuasa Kebangsaan Bagi Menangani Isu Kemasukan E-Waste Haram, kata menteri berkenaan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata penubuhan jawatankuasa terbabit bagi memastikan isu berkaitan e-sisa atau sisa elektronik haram dapat diselesaikan secara tuntas dengan pendekatan keseluruhan negara.

Advertisement

"Semalam saya telah menandatangani arahan untuk memindah bahan e-sisa daripada senarai dua ke Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 kepada Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang akan menguatkuasakan larangan mutlak terhadap barang e-sisa.

"Ia akan memberi kuasa kepada JKDM untuk menghalang kemasukan atau kontena e-sisa diturunkan daripada kapal sekiranya sampai di pelabuhan negara," katanya dalam kenyataan semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas beliau melawat Pelabuhan Klang, Selangor bagi meninjau status penahanan kontena yang mengandungi e-sisa, susulan dapatan Pasukan Petugas Khas NRES untuk memperkukuh tadbir urus dan kecekapan penguatkuasaan undang-undang alam sekitar.

Beliau berkata sehingga kini tiada sebarang kebenaran import e-sisa dan buangan terjadual lain dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) memandangkan Malaysia tidak membenarkan sebarang pengimportan buangan terjadual selaras dengan Konvensyen Basel Mengenai Kawalan Pergerakan Rentas Sempadan Buangan Berbahaya dan Pelupusannya.

Arthur berkata berdasarkan rekod semasa, sebanyak 605 daripada keseluruhan 818 kontena yang berada di pelabuhan telah diperiksa oleh JAS setakat ini dan daripada jumlah itu, 503 kontena berada di bawah siasatan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan telah diperiksa menerusi pelaksanaan Ops Dermaga manakala 213 kontena lagi masih belum diperiksa.

"Susulan lawatan ini, saya telah mengarahkan JAS bersama agensi berkaitan melaksanakan Operasi Bersepadu Khas untuk e-sisa bagi menyelesaikan lambakan kontena yang belum diperiksa agar kementerian dapat mengenal pasti secara tepat bilangan kontena yang terlibat dengan penyeludupan e-sisa," katanya.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat mengikut peruntukan undang-undang, termasuk Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda maksimum sehingga RM10 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut Arthur, Seksyen 43 akta sama pula akan diambil terhadap ejen atau syarikat perkapalan yang gagal mematuhi prosedur pengimportan ditetapkan.

-- BERNAMA

Must Watch Video