PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang dalam proses rundingan bagi mewujudkan satu dasar kebangsaan berhubung pengeluaran, penggunaan dan sisa plastik yang selaras dengan Perjanjian Plastik Global (GPT) 2022.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata bagi memastikan hasil yang terbaik, NRES melalui Jawatankuasa Rundingan Kebangsaan telah mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan yang merangkumi kementerian, agensi kerajaan, industri dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Kami akan terus melibatkan masyarakat sivil secara inklusif dalam merumuskan pendirian kami mengenai GPT. Penguatkuasaan GPT akan membawa kepada pengurangan penggunaan plastik yang tidak perlu melalui peralihan yang adil," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan NRES hari ini.

Beliau berkata sehingga kini Malaysia telah mengambil bahagian dalam empat pusingan rundingan antarabangsa mengenai GPT di peringkat Jawatankuasa Rundingan antara Kerajaan (INC) untuk membangunkan instrumen antarabangsa yang mengikat secara sah mengenai pencemaran plastik termasuk terhadap alam sekitar marin.

Sementara itu merujuk kepada tinjauan yang dilaksanakan oleh organisasi antarabangsa Greenpeace International baru-baru ini, Nik Nazmi berkata hasil yang diperoleh daripada tinjauan itu membuktikan sokongan rakyat terhadap usaha kerajaan memastikan pengurangan penggunaan plastik.

"Sokongan di Malaysia lebih tinggi berbanding purata global iaitu 82 peratus, yang menunjukkan bahawa langkah ke arah kelestarian disokong oleh rakyat. Sesungguhnya ia merupakan prinsip teras agenda Malaysia MADANI," katanya.

Tinjauan itu mendapati 87 peratus daripada 1,000 rakyat Malaysia yang tinggal di 17 bandar di seluruh negara menyokong agar pengeluaran plastik dikurangkan bagi memerangi pencemaran.

-- BERNAMA