Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) kesal dengan kenyataan Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng yang menuduh akhbar aspirasi kebangsaan negara Utusan Malaysia sebagai rasis dan ekstrimis.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, NUJ berpendapat tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang itu mencemuh akhbar yang memperjuangkan kemerdekaan negara adalah tidak berasas sama sekali dan tidak adil dalam penilaiannya.

"Tuduhan yang diberikan Guan Eng terhadap Utusan adalah keterlaluan dan tidak adil, selepas diminta mengulas mengenai laporan Mingguan Malaysia baru-baru ini, di bawah kolum Analisis Mingguan, Bisik-bisik Awang Selamat dalam artikel bertajuk DAP dan Rayer.

"Hanya disebabkan kritikan dalam kolum Analisis Mingguan, Bisik-bisik Awang Selamat yang membidas ADUN Seri Delima, RSN Rayer mencarut, Guan Eng secara pukul rata mengeluarkan kenyataan yang menghina syarikat akhbar yang ditubuhkan atas dasar mendokong perlembagaan negara ini.

"Jangan disebabkan satu kesan titik hitam pada sehelai kertas putih maka keseluruhan kertas itu dianggap kotor," kenyataan itu dipetik sebagai berkata.

NUJ juga berharap Guang Eng dan pemimpin pembangkang dimohon tidak terus-menerus mempolitikkan akhbar Utusan dan akhbar arus perdana lain demi mendapat populariti.

"NUJ juga berharap kesemua pemimpin pembangkang tidak mempolitikkan dan menyalahkan akhbar arus perdana 100 peratus serta menafikan hakikat kandungan ilmiah lain di dalamnya yang selama ini banyak membantu pembangunan negara menjadi sebuah negara maju sejak sebelum merdeka lagi," kata kenyataan itu lagi.

Kesatuan wartawan itu berpendapat penulisan Bisik-bisik Awang Selamat itu bersifat menegur sikap wakil rakyat terbabit yang sepatutnya tidak dilakukan oleh seorang pemimpin

"Sebagai seorang pemimpin juga harus bersikap terbuka dalam menerima kritikan dan jangan cepat melatah," kata kenyataan," kata kenyataan itu.