KUALA LUMPUR: Nuklear Malaysia sedang meneliti potensi kerjasama dengan beberapa syarikat swasta dan universiti tempatan melalui Perkongsian Awam-Swasta (PPP) bagi membangunkan penyelidikan dan kepakaran dalam bidang pengekstrakan nadir bumi.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, dalam konteks penyelidikan dan pembangunan (R&D), Nuklear Malaysia telah tersedia seramai 30 penyelidik daripada pelbagai bidang termasuk keselamatan sinaran.

“Ini termasuk melaksanakan aktiviti R&D dalam pemprosesan mineral dan pengekstrakan unsur nadir bumi. Selain itu, Nuklear Malaysia turut terlibat dalam bidang huluan iaitu aktiviti eksplorasi dan pemetaan unsur nadir bumi (REE),” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Arthur berkata, dalam aspek kawal selia pula, Jabatan Tenaga Atom menguatkuasakan Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 dan mengiktiraf Pegawai Perlindungan Sinaran (PPS) melalui skim persijilan PPS.

Sehingga kini, Jabatan Tenaga Atom telah mengiktiraf seramai 1,268 orang PPS yang terlatih dalam bidang keselamatan dan sekuriti nuklear bagi membantu pemegang lesen termasuk dalam industri pemprosesan bahan mineral yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi mematuhi aspek perundangan yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Arthur berkata, MOSTI sedang mempergiat pelaksanaan pelaburan swasta atau dana alternatif melalui Malaysia Science Endowment (MSE).

Ia sejajar usaha mencapai sasaran Perbelanjaan Kasar Penyelidikan dan Pembangunan (GERD) sebanyak 2.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.

Sementara itu ketika penggulungan untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menteri berkenaan, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sejak Januari hingga Ogos tahun ini kerajaan telah menyalurkan sejumlah RM1.6 bilion kepada lebih 530,000 penerima bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau berkata, sejak tahun lepas, kriteria asas bagi kelayakan skim bantuan kebajikan itu adalah mengguna pakai nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan 2019, iaitu RM1,169 sebulan.

"Pertimbangan untuk menentukan kelayakan adalah menggunakan dua kaedah bagi menilai gambaran sebenar yang lebih wajar iaitu pertama, PGK Purata Isi Rumah Semasa dan kedua PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa.

"Antara penilaian lain ialah aspek sokongan sosial keluarga secara menyeluruh seperti tanggungan keluarga, masalah kesihatan yang kronik, keperluan penjagaan yang rapi, psikososial dan sebagainya," katanya.

Nancy berkata, bagi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) pula sebanyak RM8.05 juta bantuan kewangan disalurkan kepada 161 PAWE di seluruh negara dengan memberi manfaat kepada lebih 50,000 ahli dengan pelbagai latar belakang agama, bangsa dan sosioekonomi.

Beliau berkata, bantuan itu bukan bertujuan menanggung sepenuhnya operasi pusat berkenaan sebaliknya untuk menggalakkan setiap PAWE terus aktif melaksanakan aktiviti serta meringankan sedikit tanggungan kos operasi mereka.

Persidangan bersambung esok. - BERNAMA