NUR@PETRA bantuk PMKS jimat sehingga RM4,000 melalui e-Rebat tenaga mampan

Program NUR@PETRA bukan sekadar menjimatkan wang, tetapi turut memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat mengenai kepentingan dan tanggungjawab penggunaan tenaga secara cekap. - Gambar SEDA Malaysia
PETALING JAYA: Program NUR@PETRA, yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia, terus memperkukuh peranan agensi itu dalam menerajui agenda tenaga lestari negara.
Ia dijalankan melalui peluasan manfaat e-Rebat bagi pembelian peralatan elektrik cekap tenaga kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di seluruh negara.
Di bawah inisiatif yang diterajui oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) ini, PKMS berpeluang menikmati penjimatan sehingga RM4,000 bagi pembelian peralatan elektrik berlabel empat dan lima bintang seperti penyaman udara dan peti sejuk cekap tenaga.
Langkah ini sejajar dengan aspirasi negara untuk memperkukuh budaya kecekapan tenaga dalam kalangan usahawan tempatan.
Program NUR@PETRA bukan sekadar menjimatkan wang, tetapi turut memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat mengenai kepentingan dan tanggungjawab penggunaan tenaga secara cekap.
Inisiatif ini menekankan bahawa setiap kilowatt tenaga yang dijimatkan bukan sahaja mengurangkan bil elektrik, malah menyumbang secara langsung kepada pemeliharaan alam sekitar serta memperkukuh amalan penggunaan tenaga mampan demi masa depan negara.
Ramai pengguna domestik masih beranggapan bahawa penjimatan tenaga hanya dapat dicapai melalui pemasangan panel solar fotovoltaik, sedangkan langkah pertama sebenarnya bermula dengan amalan harian yang mudah seperti mematikan suis selepas digunakan bagi mengelakkan pembaziran tenaga dan memilih peralatan yang cekap tenaga.
Label kecekapan tenaga bukan sekadar hiasan tetapi ia merupakan penunjuk aras penjimatan sebenar - setiap tambahan bintang pada label menandakan tahap kecekapan tenaga yang lebih tinggi.
Sebagai contoh, satu unit peralatan lima bintang mampu menjimatkan sehingga ratusan ringgit pada bil elektrik dalam tempoh lima tahun.
Melalui kategori NUR:PMKS, setiap syarikat layak menerima e-Rebat RM200 bagi setiap unit peralatan elektrik cekap tenaga, dengan maksimum 20 unit bersamaan RM4,000.
Inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan bil elektrik, malah meningkatkan kecekapan operasi dan daya saing perniagaan.
Permohonan boleh dibuat sepenuhnya melalui Sistem NUR yang dibangunkan oleh SEDA Malaysia, dengan tuntutan dibenarkan sekali sahaja (one-off) selepas pembelian dibuat.
Antara syarat kelayakan utama termasuk memiliki Sijil Akuan Status PMKS yang dikeluarkan oleh SME Corporation Malaysia, mempunyai akaun bil elektrik bertarif komersial yang aktif, penyata bank semasa, serta Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM) yang masih sah.
Selain itu, Program NUR@PETRA turut menawarkan kategori NUR:Chiller, yang menawarkan e-Rebat sehingga RM500,000 e-Rebat kepada sektor industri dan bangunan komersial bagi menggantikan sistem penyejukan lama kepada sistem baharu yang lebih cekap tenaga.
Program ini memberi keutamaan kepada bangunan yang telah beroperasi lebih 10 tahun dan menggunakan sistem penyejukan ruang pejabat (comfort cooling). Penggantian kepada sistem baharu bukan sahaja menjimatkan tenaga, malah turut mengurangkan kos operasi dalam jangka panjang bagi industri dan perniagaan.
Permohonan bagi NUR:PMKS dibuka sehingga 31 Disember 2025, manakala NUR:Chiller boleh dipohon sehingga 31 Disember 2026.
Untuk maklumat lanjut, permohonan boleh dibuat melalui portal rasmi di www.saveenergy.gov.my atau www.seda.gov.my/nur , serta saluran media sosial rasmi SEDA Malaysia. Sebarang pertanyaan boleh hubungi pasukan projek NUR di talian 03 8870 5869 / 5864 / 5922 / 5953 atau emel [email protected].
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


