SANDAKAN: Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Sabah perlu diteruskan bagi memastikan khazanah alam semula jadi di negeri itu dilindungi, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali.

Beliau berkata operasi itu yang sepatutnya berakhir semalam selepas 67 hari dilancarkan, telah mendapat maklum balas positif daripada orang ramai berikutan keberkesanannya dalam mencegah eksploitasi flora dan fauna Sabah.

"Sepatutnya saya menutup operasi ini, tetapi saya tidak mahu. Malah, saya akan meluaskan model operasi di sini ke Semenanjung dan Sarawak kerana dalam 67 hari, terdapat 66 kes melibatkan 73 tangkapan dan rampasan bernilai kira-kira RM3.2 juta.

"Bagi saya, selain menangkap dan membawa pesalah ke mahkamah, saya ingin mencadangkan pendekatan drastik termasuk tindakan akan diambil di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA)," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat operasi OBK Sabah di sini semalam.

Hazani berkata kesan daripada jenayah itu akan menjejaskan ekologi hutan, yang perlu diwarisi kepada generasi masa hadapan dalam keadaan yang baik.

"Aktiviti haram ini membawa keuntungan besar kepada penjenayah dan saya percaya terdapat sindiket. Sebab itu kita kerugian beratus juta ringgit setiap tahun kerana aktiviti haram ini melibatkan khazanah alam semula jadi kita," katanya.

Hazani berkata penemuan sebuah tapak perlombongan emas secara haram di Hutan Simpan Ulu Segama-Malua dekat Lahad Datu semasa OBK mendorong beliau untuk mencadangkan kepada kerajaan supaya meluaskan skop Biro Jenayah Hidupan Liar yang telah diluluskan kerajaan pada Jun.

Beliau berkata biro itu perlu fokus kepada isu-isu berkaitan melibatkan hutan dan habitatnya, termasuk pembalakan, perlombongan, pemburuan dan eksploitasi flora dan fauna secara haram.

Terdahulu, Timbalan Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah ACP Toipi Lamat yang juga Pegawai Pemerintah Medan OBK Sabah berkata operasi itu menemukan 103 lubanghari i yang digali berhampiran Sungai Bole di Hutan Simpan Ulu Segama-Malua, yang membawa kepada penemuan sebuah terowong sedalam kira-kira 10 hingga 17 meter dipercayai mengandungi emas.

Beliau berkata kawasan itu aktif untuk tujuan komersial pada 1990-an ketika dijadikan Kelas II Hutan Simpan Komersial, tetapi cakap-cakap daripada penduduk tempatan mengatakan pelombong haram mudah memasuki hutan itu, menyebabkan pasukan OBK melakukan pemeriksaan.

"Kami menjumpai khemah dan rumah atas pokok serta gelanggang bola keranjang dan taman yang ditanam pokok termasuk durian yang membuatkan kami percaya pelombong ini sudah berada di sini selama bertahun-tahun. Tetapi, sejak OBK dilancarkan pada Ogos lepas, kami percaya pelombong telah meninggalkan hutan bimbang dicekup," katanya.

Toipi berkata tapak itu ditemukan pada 18 Ogos dan siasatan lanjut dilakukan pada 25 hingga 29 Ogos dan pasukannya telah merobohkan tapak pelombong haram itu.

Ketua Konservator Hutan Sabah Datuk Frederick Kugan berkata kesan aktiviti perlombongan itu telah memusnahkan kebanyakan pokok spesies riparian dan kerja-kerja penggalian boleh membahayakan hidupan liar kerana penemuan lubang dan terowong berkenaan telah menyebabkan tanah runtuh.

Beliau berkata hutan simpan itu diklasifikasikan sebagai Kelas I Hutan Simpan Perlindungan pada 2012 disebabkan kewujudan populasi orang utan di situ.

"Berikutan penemuan perlombongan haram itu, penguatkuasaan mungkin memerlukan bantuan daripada Jabatan Mineral dan Geosains kerana Jabatan Perhutanan terhad untuk menguatkuasakan Enakmen Perhutanan Sabah, yang menggariskan apa yang haram di hutan seperti penebangan pokok.

"Kita juga perlu menambah baik pelan pengurusan dari segi tindakan yang boleh diambil oleh pasukan penguatkuasaan kami. Sebagai contoh, terdapat banyak jalan masuk ke dalam hutan yang perlu dimusnahkan," katanya.

-- BERNAMA