KUALA LUMPUR: Pindaan perundangan terbaharu Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 yang diluluskan awal tahun ini secara rasmi menginstitusikan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak (OCC) dalam Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRI).

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, masih banyak yang perlu dilakukan kerana Malaysia masih ketinggalan berbanding negara lain dalam menangani isu penderaan dan masalah sosial melibatkan kanak-kanak.

"Selain daripada pelantikan tiga pesuruhjaya kanak-kanak sepenuh masa, pindaan itu memberi kuasa kepada OCC untuk menerima dan bertindak atas aduan dan kebimbangan daripada kanak-kanak, di samping bertindak untuk mewujudkan mekanisme bagi menggalakkan penyertaan kanak-kanak dalam perkara yang melibatkan mereka.

"Pencapaian bersejarah ini mengesahkan komitmen Malaysia terhadap hak kanak-kanak dan penglibatan yang bermakna dalam membentuk masa depan mereka.

"Walau bagaimanapun, perjalanan kita baru sahaja bermula, dan kita mendapati diri kami ketinggalan berbanding negara lain yang mempunyai pejabat suruhanjaya kanak-kanak dan inilah sebab mengapa kita berkumpul di sini hari ini.

"Kita mempunyai peluang unik untuk belajar daripada pengalaman masing-masing, berkongsi amalan terbaik dan meneroka inovasi pendekatan untuk memperkasa suruhanjaya kanak-kanak di peringkat global,"  katanya semasa berucap pada International Symposium on Empowerment of Children’s Commission: Strengthening Rights and Safeguarding Futures, pada Isnin.

Tambahnya lagi, adalah penting untuk menekankan peranan pesuruhjaya kanak-kanak dan badan pengawasan yang serupa, dalam memperjuang hak kanak-kanak di peringkat global, di mana mereka menjadi agen yang membawa pembaharuan dalam perundangan, memajukan inisiatif dasar dan memperkuatkan suara kanak-kanak dalam proses membuat keputusan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Dr Farah Nini Dusuki berkata, penyertaan kanak-kanak adalah komponen penting dan mereka ingin menjadikan pindaan itu bermakna, dengan penglibatan secara inklusif kanak-kanak di pelbagai peringkat.

Ini boleh dilakukan menerusi peruntukan khusus yang ditetapkan yang membenarkan kanak-kanak berkomunikasi secara bebas dengan pihak pesuruhjaya.

"Apa yang lebih penting dan ini menjadi impian peribadi saya adalah untuk benar-benar mempunyai wakil kanak-kanak dalam semua jawatankuasa, memutuskan perkara yang melibatkan kanak-kanak di peringkat kementerian dan agensi.

"Sudah tentu, ini bukan mimpi yang mustahil. Kami mempunyai beberapa jawatankuasa Kementerian Kesihatan contohnya, dan Majlis Kebangsaan mempunyai wakil kanak-kanak, tetapi kami mahu menjadikannya lebih inklusif.

"Kita mendengar [Datuk Seri Azalina] berkata, bagaimana kita mahu memutuskan isu kanak-kanak apabila kita tidak melibatkan mereka secara berkesan dalam perbincangan," katanya.