MALAYSIA
Onn Hafiz pemimpin Johor pertama terima anugerah LKYEF

Anugerah itu bagi mengiktiraf pemimpin berkebolehan dalam bidang dasar awam dan kepimpinan di rantau ini. - Facebook Onn Hafiz Ghazi
JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mencipta sejarah apabila menjadi pemimpin Johor pertama menerima "Lee Kuan Yew Exchange Fellowship" (LKYEF), anugerah berprestij antarabangsa yang kini memasuki edisi ke-82, sekali gus mengangkat nama negeri itu ke peringkat antarabangsa.
Onn Hafiz juga adalah rakyat Malaysia kesembilan diberi penghormatan menerima anugerah itu bagi mengiktiraf pemimpin berkebolehan dalam bidang dasar awam dan kepimpinan di rantau ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata pencapaian itu bukan sahaja menjadi kejayaan peribadi Menteri Besar itu, tetapi juga kebanggaan seluruh rakyat Johor.
"Pengiktirafan ini membuktikan kewibawaan, visi dan kepimpinan luar biasa Onn Hafiz dalam menerajui Johor ke arah masa depan yang lebih gemilang, selain mencerminkan keyakinan serantau terhadap dasar, pendekatan dan keupayaan Johor sebagai sebuah negeri yang progresif, stabil dan disegani."Semoga Datuk (Onn Hafiz) terus dianugerahkan kekuatan, kesihatan dan kebijaksanaan dalam membawa panji Bangsa Johor ke tahap yang lebih tinggi. Tahniah sekali lagi. Bangga menjadi anak Johor," katanya dalam hantaran menerusi Facebook hari ini.
LKYEF ditubuhkan sejak 1991 adalah inisiatif kerajaan Singapura bagi menjemput tokoh terkemuka dari seluruh dunia melawat republik itu dan pemilihan penerima dibuat berdasarkan rekod pencapaian serta potensi sumbangan kepada pembangunan negara selain memperkukuh hubungan dua hala dengan Singapura.
Onn Hafiz dijadual mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Singapura bermula hari ini atas jemputan Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami