ONSA tingkat akauntabiliti platform digital

Eneng memberitahu, melalui ONSA, platform digital kini dipertanggungjawabkan secara lebih jelas untuk memastikan kandungan berbahaya tidak tersebar kepada pengguna.
KUALA LUMPUR: Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) yang digazetkan pada 22 Mei 2025 membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memperkukuh keselamatan ruang digital negara.
Akta berkenaan diperkenalkan bagi menangani peningkatan ancaman kandungan memudaratkan dalam talian yang semakin kompleks, khususnya melibatkan penipuan kewangan dan risiko terhadap kanak-kanak serta golongan rentan.
Timbalan Pengarah Urusan (Pembangunan) Suruhanjaya Komuniksi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Eneng Faridah Iskandar berkata, akta itu melihatkan bahawa keselamatan dalam talian bukan lagi isu sampingan, sebaliknya memberi kesan langsung kepada kesejahteraan sosial dan kestabilan ekonomi negara.
Jelas beliau, penipuan kewangan dalam talian yang berleluasa telah mengakibatkan kerugian besar kepada rakyat, termasuk kehilangan simpanan, mata pencarian dan keselamatan kewangan keluarga.
“ Akta ini bertujuan memastikan platform digital memikul tanggungjawab yang lebih jelas dan aktif untuk mengurangkan risiko kandungan berbahaya, khususnya sebelum ia sampai dan memudaratkan pengguna.
“Ancaman kandungan jelik melibatkan kanak-kanak dalam talian memerlukan perhatian segera kerana ia menyentuh keselamatan, maruah dan kesejahteraan golongan yang paling rentan dalam masyarakat.
“Pada masa sama, penipuan kewangan dalam talian kekal antara jenayah siber paling banyak dilaporkan dan paling merugikan rakyat Malaysia, dengan kesan sebenar terhadap pengguna yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) Untuk Keselamatan Kanak-Kanak dan Keluarga dalam temu bual khas bersama Agenda AWANI pada Selasa.
Eneng memberitahu, melalui ONSA, platform digital kini dipertanggungjawabkan secara lebih jelas untuk memastikan kandungan berbahaya tidak tersebar kepada pengguna.
Pendekatan ini mengalihkan beban daripada pengguna individu kepada penyedia platform yang mempunyai keupayaan teknologi dan sumber untuk mengesan serta mengawal risiko dengan lebih berkesan.
Jelasnya juga, antara kewajipan utama di bawah akta ini ialah keperluan untuk mengambil langkah proaktif bagi mengesan dan mengurus akaun penyamaran, menyekat iklan serta tawaran pelaburan palsu, dan membanteras rangkaian penipuan terancang yang beroperasi secara berskala besar.
Platform digital juga dikehendaki menyediakan sistem pelaporan yang berfungsi serta mekanisme maklum balas dalaman yang cekap.
Langkah ini bertujuan memastikan aduan pengguna dapat ditangani dengan lebih pantas, sekali gus mengurangkan risiko pendedahan berterusan kepada kandungan memudaratkan.
Beliau turut memberitahu, akta ini akan dikuatkuasakan secara berfasa selepas peraturan subsidiari dimuktamadkan.
“ Pendekatan berhati-hati ini diambil bagi memastikan pelaksanaan yang praktikal, seimbang dan benar-benar meningkatkan tahap akauntabiliti platform serta perlindungan pengguna.
Dalam usaha memastikan pematuhan yang berkesan, platform digital yang digunakan oleh rakyat Malaysia akan disifatkan berlesen, termasuk yang beroperasi dari luar negara. Langkah ini memastikan semua platform tertakluk kepada undang-undang keselamatan Malaysia tanpa mengira lokasi operasi mereka.
Pendekatan ini sejajar dengan amalan global yang menuntut tahap tanggungjawab lebih tinggi daripada platform digital, khususnya apabila jenayah siber kini bersifat rentas sempadan dan menggunakan taktik yang semakin canggih serta terancang.
Bagi menangani isu penipuan yang merebak merentas platform, Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian akan berperanan sebagai badan penyelaras dan penasihat strategik. Jawatankuasa ini menghimpunkan wakil kerajaan, penguat kuasa, industri serta pakar bebas bagi memastikan respons yang konsisten dan bersepadu.
Kerajaan turut memberi jaminan bahawa Akta Keselamatan Dalam Talian tidak bertujuan menyekat kebebasan bersuara.
Akta ini tidak terpakai kepada pesanan peribadi antara individu dan tidak menyasarkan pandangan peribadi, kritikan atau perbincangan harian pengguna.
Sebaliknya, fokus akta ini adalah terhadap tingkah laku berbahaya yang membawa kesan nyata kepada keselamatan dan kewangan rakyat, termasuk penipuan, penyamaran dan eksploitasi dalam ruang digital terbuka.
Secara keseluruhan, Akta Keselamatan Dalam Talian dilihat sebagai asas penting dalam membina ekosistem digital Malaysia yang lebih selamat, dipercayai dan berdaya tahan,
“Semasa ini kita perlukan benteng pertahanan lebih kuat, maknanya siapa yang mendepani rakyat dengan lebih telus?Jadi yang mendepani pengguna ini ialah platform. sekali gus memberikan perlindungan lebih menyeluruh kepada kanak-kanak, keluarga dan seluruh rakyat negara ini.
“Akta ini menyasarkan kandungan memudaratkan yang jelas, bukan pandangan peribadi, kritikan atau hantaran harian pengguna biasa.ONSA tidak terpakai kepada ciri pesanan peribadi antara individu. Fokusnya ialah kandungan umum yang membawa risiko tinggi untuk menipu, memperdaya atau menyebabkan kerugian sebenar kepada pengguna.
“Rakyat Malaysia kekal bebas untuk berinteraksi, berkongsi pendapat dan menyertai perbincangan dalam talian. Apa yang ditangani adalah tingkah laku berbahaya yang mempunyai kesan nyata terhadap keselamatan dan kewangan rakyat,” kata beliau lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


