KULIM: Kira-kira 30,000 keluarga di seluruh negara menerima manfaat daripada pelaksanaan Program Op Bantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dijalankan sejak Julai lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani menyatakan program penyampaian bantuan makanan itu dilihat sebagai medium terbaik dalam membantu meringankan bebanan keluarga yang terjejas ekoran pandemik COVID-19.

Tambahnya, program yang dilakukan itu juga adalah merupakan sebahagian daripada inisiatif PDRM yang akan bertindak sebagai orang tengah atau pemudah cara bagi proses penyaluran bantuan kepada penduduk setempat.

Acryl Sani turut memaklumkan bahawa tiada sasaran penerima ditetapkan bagi program Op Bantu sebaliknya ia akan dijadikan medium yang akan memanfaatkan ramai golongan yang terjejas ketika ini.

"Setakat hari ini yang saya tengok, (penerima itu) ada kira-kira 30,000 (keluarga yang terima manfaat), jadi perkara ini (akan dijalankan secara) berterusan. Kita akan dapatkan bantuan bantuan daripada pihak yang sudi membantu (golongan terjejas) daripada wabak COVID-19 ini.

"Idea asal (Op Bantu ini adalah) untuk kita jadi pemudah cara, kita akan kenal pasti (pihak yang terjejas), sebab dalam PDRM kita ada bahagian balai polis, ketua polis balai, pondok polis yang sewajarnya mengenali masyarakat di tempat mereka bertugas," jelas Acryl Sani.

Beliau berkata demikian ketika menyertai program Op Bantu di Kulim, Kedah yang turut dihadiri Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Untuk rekod, Op Bantu adalah merupakan inisiatif yang membabitkan kolaborasi strategik PDRM bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Ia akan menjadikan kesemua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara sebagai pusat pengagihan bantuan terbabit.