Op Benteng: PGA7 kenal pasti 40 laluan tikus baharu di sempadan

Bernama
Oktober 6, 2020 20:57 MYT
Ku Majidin (kiri) bersama para pegawai menunjukkan sebahagian rokok yang dirampas dalam sebuah lori di Bachok pada sidang media di Markas Taktikal PGA di Lubok Setol, Pasir Mas, 6 Okt, 2020. --fotoBERNAMA
PASIR MAS: Pasukan Gerakan Am Batalion ke-7 (PGA7) mengenal pasti 40 laluan tikus baharu sejak pelaksanaan Op Benteng COVID-19 dijalankan di sempadan Malaysia-Thailand pada Mac lepas.
Penolong Pegawai Pemerintah PGA7 DSP Ku Majidin Che Ku Jusoh berkata setakat ini, pihaknya telah mengenal pasti sebanyak 128 laluan tikus membabitkan 51 laluan tikus di sekitar Rantau Panjang, 50 di Kuala Jambu dan 27 di Jeram Perdah.
Beliau berkata sebelum pelaksanaan Op Benteng COVID-19, sebanyak 88 laluan tikus dikenal pasti di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat ke Rantau Panjang.
"Laluan tikus sebelum ini sudah dikawal dengan ketat dan kami percaya laluan yang baharu dibuka itu adalah bagi membolehkan penyeludup membawa keluar masuk pelbagai barang kontraban," katanya kepada pemberita di Markas Taktikal PGA Lubok Setol di sini pada Selasa.
Ku Majidin berkata kebanyakan laluan tikus terletak di kawasan yang menyukarkan pihak berkuasa mengesan pergerakan mereka.
"Sesetengah laluan berkenaan mempunyai jarak yang dekat antara kedua-dua sempadan negara terbabit dan ia terletak di kawasan semak-samun serta berjauhan daripada penduduk malah sukar dilalui kenderaan biasa.
"Kini laluan tikus yang baharu tidak melibatkan kawasan laluan penduduk dan sukar dilalui kenderaan, mereka juga sanggup memunggah barangan dari tebing Sungai Golok ke kenderaan mereka," katanya.
-- BERNAMA
#PGA7 #laluan tikus #Op Benteng #COVID-19 #malaysia-thailand #Ku Majidin Che Ku Jusoh #Rantau Panjang #Kuala Jambu #Jeram Perdah #Sungai Golok #barang kontraban #sempadan