KOTA TINGGI: Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun antara enam individu ditahan dalam Operasi Bersepadu ke atas pendatang asing di tiga lokasi berasingan di sekitar daerah ini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata kesemua mereka yang berusia lingkungan setahun hingga 66 tahun itu ditahan menerusi operasi dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) antara 2 hingga 4 petang.

Beliau berkata selain kanak-kanak itu, turut ditahan ialah seorang lelaki, ibu kepada kanak-kanak berkenaan serta abang kanak-kanak itu yang berusia tiga tahun, kesemuanya dipercayai warga Myanmar yang mengemis.

Menurut Hussin, pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan disyaki terlibat dengan kegiatan itu, sebelum kedua-duanya diserahkan kepada JKM untuk tindakan dokumentasi.

"Empat warga asing itu diserahkan kepada JIM untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Hussin berkata operasi bersepadu itu bertujuan mengesan dan menangkap bagi menyekat kebanjiran pengemis di sekitar Kota Tinggi.

-- BERNAMA