Op Carilamat hari ketiga dua nelayan hilang di laut diteruskan

Petrus Bernard
Februari 9, 2022 03:49 MYT
Kawasan pencarian dibahagikan kepada enam sektor dengan keluasan diperluaskan kepada 102 batu nautika persegi. - Foto Astro AWANI
SEMPORNA: Susulan nelayan hilang ketika turun menangkap ikan di perairan Pulau Bohey Dulang pada Isnin, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan memasuki hari ketiga berikutan kegagalan mengesan nelayan tersebut pada Selasa.
Pengarah Zon Maritim Semporna Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, setelah dua hari pencarian, pasukan SAR gagal menemui sebarang petanda mengenai kehilangan nelayan tersebut sebelum Op Carilamat ditangguhkan jam 6 petang semalam.
SAR hari ketiga diteruskan jam 7 pagi hari ini melibatkan lima bot pelbagai agensi termasuk APMM, Pasukan Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dengan kekuatan 27 anggota dan pegawai.
Kawasan pencarian juga dibahagikan kepada enam sektor dengan keluasan diperluaskan kepada 102 batu nautika persegi.
BACA: APMM aktifkan Op Carilamat dua nelayan hilang di laut
Pada Isnin, dua nelayan Wleson@Jukno, 30 tahun, dan Osman Palik, 28 tahun, dilaporkan hilang selepas keluar menangkap ikan di perairan berkenaan pada Ahad.
Kehilangan itu disedari rakan mereka selepas gagal menghubungi telefon bimbit salah seorang mangsa sekitar jam 12.40 tengah malam Ahad, sebelum tampil membuat laporan polis keesokan harinya.
#nelayan hilang #Pulau Bohey Dulang #Op Carilamat #keluar menangkap ikan