MALAYSIA
Op Carilamat warga Turkiye ditamatkan

Op Carilamat warga Turkiye ditamatkan selepas operasi pencarian melalui udara pada hari kedua hingga ketujuh gagal mengesan sebarang serpihan atau sisa terapung yang mempunyai kaitan dengan Kapal Layar Daisy yang karam. - Foto APMM
KUALA TERENGGANU: Operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) seorang warga Turkiye Eser Demirkol yang hilang di perairan Pulau Yu di sini ditamatkan semalam setelah tujuh hari pencarian.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu Kapten Maritim Hamiludin Che Awang berkata operasi tersebut ditamatkan pada 8 malam selepas tiada sebarang tanda atau petunjuk bagi penemuan mangsa berusia 52 tahun itu.
Beliau berkata jumlah keseluruhan keluasan sektor pencarian Op Carilamat sepanjang tujuh hari ialah 457.61 batu nautika persegi merangkumi aset laut dan udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) serta Polis Marin.
"Pencarian turut melibatkan pasukan penyelam daripada Skuadron Selam, Pasukan Tindakan Khas Maritim yang telah membuat 10 selaman sepanjang empat hari pencarian dengan bantuan Kenderaan Jarak Jauh (ROV)."Selain itu, beberapa aset Maritim Kelantan turut digunakan sebagai platform tambahan bagi membantu penyelam di lokasi yang kedalaman melebihi 50 meter," menurutnya dalam kenyataan semalam.
Hamiludin berkata Op Carilamat juga ditamatkan selepas pencarian melalui udara pada hari kedua hingga ketujuh operasi gagal mengesan sebarang serpihan atau sisa terapung yang mempunyai kaitan dengan Kapal Layar Daisy yang karam.
Beliau berkata bagaimanapun, aset-aset Maritim yang sentiasa menjalankan operasi harian akan tetap meneruskan pencarian di lokasi kejadian.
"Op Carilamat akan disambung jika terdapat sebarang petunjuk baharu berkaitan insiden ini.
"Kepada komuniti maritim yang mempunyai maklumat berkaitan, boleh menghubungi pihak kami dengan segera di talian 09-6224 357," katanya.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa tiga lelaki warga Turkiye yang juga peserta pelayaran merancang melakukan siri jelajah mengelilingi benua dari Malaysia ke negara asal pada 28 Julai lepas.
Bagaimanapun, kapal layar yang dinaiki mereka karam selepas dipukul ribut di perairan Pulau Yu pada petang 29 Julai lepas.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami