NATIONAL
Op GASAK: KPDN Selangor gempur 35 premis, rampas 90 unit tong gas
Mohd Zuhairi berkata, menerusi operasi itu pihaknya merampas 90 unit LPG yang dianggarkan bernilai RM8,000 dalam empat kes berkaitan kesalahan mengenai pemilikan barang kawalan berjadual bersubsidi yang dikesan. - Gambar KPDN Selangor
SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menggempur 35 premis perniagaan menerusi Op GASAK bagi membanteras penyelewengan subsidi gas memasak, yang dilaksanakan pada Khamis dan Jumaat lepas.
Pengarahnya Mohd Zuhairi Mat Radey berkata menerusi operasi itu pihaknya merampas 90 unit tong gas memasak (LPG) yang dianggarkan bernilai RM8,000 dalam empat kes berkaitan kesalahan mengenai pemilikan barang kawalan berjadual bersubsidi yang dikesan.
Beliau berkata operasi itu membabitkan pemeriksaan premis perniagaan di Shah Alam, Petaling Jaya, Gombak, Kajang, Sepang, Kuala Kubu Bharu dan Kuala Selangor.
"Sasaran operasi memfokuskan kepada syarikat penternak ayam, pembekal gas memasak, perniagaan mencuci pakaian dan restoran makanan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Zuhairi berkata empat kes itu membabitkan potensi kesalahan mengikut Peraturan 18(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974, iaitu memiliki barang kawalan berjadual bersubsidi bahan api jenis gas memasak bagi perjalanan perniagaan tanpa kebenaran Pengawal dan menjadi kesalahan di bawah Peraturan 21(1) PPKB 1974.
Beliau berkata siasatan juga akan dijalankan di bawah peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961.
Mohd Zuhairi berkata KPDN Selangor telah menghasilkan 35 kes dengan nilai rampasan mencecah RM680,000 bagi tempoh Januari hingga hari ini, dalam tindakan menangani isu ketirisan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi, khususnya melibatkan LPG.
-- BERNAMA