SUNGAI PETANI: Jabatan Imigresen Kedah menahan sembilan wanita warga asing yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan di sebuah hotel bajet di Sungai Petani, malam tadi.

Timbalan Pengarah JIM (Kawalan) Kedah, Rosmaliza Mohamed Rashid berkata dua pekerja hotel serta lima lelaki dikenakan kompaun kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan ketika ini.

Jelasnya kesemua wanita yang ditahan dalam Op Gegar pada jam 8.30 malam itu berusia antara 25 hingga 36 tahun dan terdiri daripada warga Thailand, Vietnam dan Kemboja.

Siasatan awal mendapati mereka menawarkan khidmat seks dengan bayaran RM190 sejam dan beroperasi di hotel terbabit menggunakan nama lelaki tempatan.

"Modus operandi yang dilakukan mereka adalah dengan menggunakan aplikasi We Chat untuk mempromosikan wanita cantik yang menawarkan perkhidmatan seks.

"Bayaran yang dikenakan sebanyak RM190 untuk sekali layanan daripada wanita berkenaan untuk melakukan aktiviti tidak bermoral itu.

“Ketika serbuan kami turut merampas barangan seperti kondom, gel pelincir, telefon bimbit, ubat perangsang seks dan pasport,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rosmaliza berkata, ketika serbuan dilakukan, lima orang wanita terbabit sudah mempunyai pelanggan manakala selebihnya sedang menunggu pelanggan di bilik masing-masing.

"Ketika itu kesemua mereka enggan memberi kerjasama sepenuhnya dan enggan membuka pintu bilik sehingga anggota Imigresen terpaksa meminta pekerja hotel untuk membuka kesemua sembilan bilik berkenaan.

“Salah seorang wanita yang ditahan mengaku memasuki negara ini menggunakan sampan dari Tak Bhai, Thailand menerusi laluan tikus di Kelantan secara tidak sah,” ujarnya.

Kesemua wanita terbabit dikenakan tindakan dibawah Seksyen 6(1)(c),15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Mereka yang ditahan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Pejabat Imigresen Anak Bukit untuk disaring terlebih dahulu sebelum dihantar ke Depot Imigresen Belantik untuk dihantar pulang ke negara masing-masing.