SHAH ALAM: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengeluarkan sejumlah 220 kompaun dan tujuh arahan pematuhan daripada 1,258 pemeriksaan yang dilakukan ke atas majikan menerusi Op Kesan Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di seluruh negara hari ini.

Menurut Ketua Eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed, ia melibatkan kesalahan majikan yang gagal melakukan pendaftaran dan caruman di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

"Saya meminta kepada semua majikan di luar sana yang masih belum mendaftar dan masih belum mencarum pekerja mereka supaya tampil... kami masih lagi boleh menerima jika mereka secara sukarela hadir ke pejabat Perkeso di seluruh negara untuk mendaftar majikan dan pekerja mereka.

"Tindakan tidak akan diambil tetapi jika mereka gagal, jika mereka dikesan, mereka akan dikompaun dan jika mereka gagal mendaftar dan mencarum mereka boleh didakwa," katanya kepada media selepas menyertai operasi tersebut di sini hari ini.

Jelasnya lagi, Perkeso sebelum ini telah memberikan amaran serta menawarkan peluang kepada semua majikan untuk melakukan pendaftaran dan caruman terhadap pekerja mereka tanpa sebarang tindakan dalam Tempoh Pemutihan yang berakhir pada 31 Mei lalu.

Justeru katanya, majikan tidak harus mempunyai alasan untuk gagal berbuat demikian demi menjaga kebajikan pekerja mereka.

Jelasnya, pihak juga mengalu-alukan aduan oleh pekerja mereka sekiranya mendapati majikan mereka tidak mendaftar dan mencarum seperti yang diwajibkan.

Perkeso setakat ini mengesan pelbagai kesalahan yang dilakukan oleh majikan menerusi aduan yang pernah diterima termasuk memalsukan caruman dalam penyata gaji pekerja mereka.

Sehingga Mei lalu menurutnya sebanyak 8,843 (15 peratus) majikan baharu telah tampil mendaftar dengan Perkeso.

"Saya boleh anggap ia satu angka yang boleh diterima dan mungkinsatu peningkatan yang memberangsangkan kerana dalam tempoh endemik pada bulan April dan diberi tempoh selama sebulan selepas endemik. Kita dapat lihat majikan telah mula tampil secara sukarela untuk mendaftar.

"Mungkin jika kita memberi lebih ruang kepada mereka yang baru ingin bertapak semula dan mungkin ada kekangan dari segi kos dan sebagainya tapi kita dapat lihat bahawa 15 peratus peningkatan majikan hadir untuk berdaftar sesuatu yang boleh diterima," katanya lagi.

Sementara itu, seramai 85,181 Orang Bekerja Sendiri (OBS) dalam Sektor Pengangkutan Penumpang dan Pengangkutan Barangan dan Makanan telah mendaftar pada bulan Mei 2022, berbanding hanya 4,983 orang sahaja yang berdaftar pada bulan April 2022.

Katanya, ini mencatatkan peningkatan melebihi 17 kali ganda yang direkodkan sepanjang Tempoh Pemutihan.

Statistik majikan dan OBS ini menunjukkan tempoh pemutihan yang dilaksanakan Perkeso berkesan dalam menggalakkan mereka mendaftar secara sukarela.