Op KPDN-SSM: 30 premis di Sri Muda diperiksa, kompaun hampir RM10,000

Muhamad Hanif (dua dari kanan) membuat pemeriksaan di salah sebuah premis menjual pakaian di Sri Muda. - Foto/Izwan Noordin
SHAH ALAM: Sejumlah 30 premis perniagaan diperiksa dengan 13 pelanggaran akta direkodkan dalam operasi yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sekitar Sri Muda, di sini, pada Khamis.
Ketua Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata lapan kes melibatkan pelanggaran akta KPDN manakala lima kes lagi di bawah akta SSM, dengan jumlah kompaun hampir RM10,000 dikenakan.
Operasi yang digerakkan susulan aduan masyarakat setempat itu melibatkan seramai 21 anggota penguat kuasa, terdiri daripada 15 anggota KPDN Selangor dan enam anggota SSM Selangor.
“Antara perkara yang kami periksa melalui operasi hari ini adalah pematuhan terhadap tanda harga, khususnya melibatkan alat timbang sukat serta barangan kawalan seperti minyak masak, gula dan sebagainya.
"Tujuan pemeriksaan ini adalah untuk memastikan perniagaan di sekitar kawasan Sri Muda mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan, Akta Perihal Dagangan, Akta Perlindungan Pengguna serta Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan.
"Selain itu, KPDN bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut menyemak premis-premis ini, sama ada perniagaan berkenaan berdaftar dengan SSM atau sebaliknya.
"Sekiranya berdaftar, mereka juga perlu mematuhi peraturan di bawah SSM, termasuk mempamerkan tanda pendaftaran perniagaan dan papan tanda perniagaan.
"SSM turut menekankan bahawa resit pembelian barangan mestilah memaparkan nombor pendaftaran perniagaan,” kata Muhamad Hanif dalam sidang media selepas operasi.
Mengulas prestasi keseluruhan KPDN Selangor, Muhamad Hanif memaklumkan sebanyak 12,199 pemeriksaan di seluruh negeri telah dijalankan sepanjang bulan Januari.
Sepanjang tahun 2025 pula, sebanyak 110,067 premis diperiksa, melibatkan 1,141 kes direkod di bawah Akta Kawalan Harga, 146 kes Akta Kawalan Bekalan, 293 kes Akta Timbang dan Sukat serta 62 kes di bawah Akta Perlindungan Pengguna.
Beliau turut menjelaskan 478 kes telah dibuka kertas siasatan, dengan nilai kompaun berpotensi mencecah RM4 juta, manakala nilai rampasan melebihi RM19 juta.
Jumlah kompaun keseluruhan sepanjang tempoh tersebut direkodkan sekitar RM400,000.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


