MALAYSIA
Op Metal: SPRM rakam keterangan 27 saksi, beku aset lebih RM332 juta

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam keterangan daripada 27 saksi susulan siasatan Op Metal membabitkan sindiket penyeludupan besi buruk dan sisa elektronik (e-waste) di lima negeri. - Gambar fail/Astro AWANI
GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam keterangan daripada 27 saksi susulan siasatan Op Metal membabitkan sindiket penyeludupan besi buruk dan sisa elektronik (e-waste) di lima negeri.
Sumber berkata seorang daripada suspek lelaki yang dipercayai bergelar 'Datuk' turut dipanggil memberi keterangan hari ini. Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang tangkapan dilakukan.
"Sehingga kini, sebanyak 324 akaun bank telah dibekukan - terdiri daripada 142 akaun milik syarikat dan 182 akaun individu - membabitkan nilai hampir RM150 juta. Nilai sitaan pula dianggarkan kira-kira RM183 juta.
"Secara keseluruhan, jumlah aset yang disita dan akaun yang dibekukan adalah lebih RM332 juta," katanya.Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan perkara berkenaan ketika dihubungi dan memaklumkan bahawa siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terlibat.
Katanya kegiatan sindiket itu mengakibatkan kerajaan kerugian hasil cukai eksport melebihi RM950 juta sejak enam tahun lalu.
Mohamad Zamri turut menjelaskan bahawa SPRM sedang meneliti sumber kewangan suspek dan syarikat terbabit melalui kerjasama dengan agensi lain, termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
"Selain siasatan mengikut Seksyen 16 dan 18 Akta SPRM 2009 serta kesalahan pengubahan wang haram, siasatan turut dijalankan mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Akta Kastam 1967 oleh agensi berkaitan," katanya.
Op Metal dilancarkan SPRM pada 15 Julai lalu, membabitkan serbuan serentak di 19 lokasi di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Kedah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami