Tiada peluru hidup digunakan sepanjang operasi menangani wabak rabies (Op Rabies) dijalankan sejak ia dilancarkan 1 Mac lalu setelah diisytihar sebagai Bencana Tahap 2.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, petugas-petugas Op Rabies juga tidak dibenarkan masuk ke premis persendirian untuk mengambil tindakan ke atas anjing tanpa kebenaran pemilik.

"Kehadiran anggota keselamatan beruniform lengkap bersenjata api adalah untuk tujuan keselamatan para petugas sahaja, jika berlaku sebarang ancaman," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata, semua tindakan yang diambil mematuhi klausa (4),(37),(38) dan (40) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

"Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 20, standard operasi membenarkan agensi yang terlibat menggunakan senjata api dalam pergerakan memasuki premis.

"Operasi itu juga telah mendapat arahan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). NADMA juga telah menyalurkan bantuan kewangan, peralatan serta sepasukan doktor veterinar dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia," katanya.

Setakat ini, kata Uggah, dalam Op Rabies yang dijalankan di Kota Samarahan, sejumlah 4,474 anjing telah divaksinkan manakala 425 anjing liar berjaya dihapuskan.

Seramai 454 pegawai serta petugas telah terlibat dalam operasi yang dijalankan pada 4 hingga 8 April lalu dan operasi seterusnya akan beralih ke kawasan bandar raya Kuching mulai 22 April hingga 10 Mei.