Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita disyaki menjadi dalang dalam beberapa siri kejadian ragut di sekitar ibu negara dan Selangor dalam dua serbuan berasingan, Sabtu lepas.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, ketiga-tiga suspek berjaya ditahan selepas siasatan terhadap kejadian ragut melibatkan seorang wanita di Cheras yang mengalami kerugian lebih RM2,000 pada Khamis lepas.

"Bertindak atas maklumat, Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur telah melakukan serbuan di sebuah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur dan berjaya menahan dua lelaki berusia 20 dan 21 tahun.

"Hasil siasatan awal mendapati, suspek pertama mengaku terlibat dalam beberapa jenayah ragut di sekitar Cheras dan Kajang serta menunjukkan baju yang dipakai semasa melakukan jenayah ragut dan juga tempat simpanan barangan hasil ragut.

"Seterusnya, hasil soal siasat ke atas suspek membawa kepada penahanan seorang wanita berusia 35 tahun di unit rumah yang lain PPR yang sama dan mendapati suspek mengaku melakukan jenayah ragut serta terlibat dalam tiga kes ragut di Kuala Lumpur dan enam di Selangor," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Antara barangan yang diragut oleh suspek. - PDRM

Mazlan berkata, semakan rekod jenayah lampau ke atas kesemua suspek mendapati suspek pertama mempunyai rekod dikehendaki bersabit Seksyen 15(4) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Manakala, suspek kedua mempunyai satu rekod lampau bekaitan kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala suspek wanita mempunyai rekod dikehendaki bersabit Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kesemua suspek ditahan reman selama dua hari bermula Ahad untuk siasatan lanjut.

"Pihak polis turut berjaya membuat rampasan 50 barangan dipercayai hasil ragut antaranya 14 telefon bimbit, jam tangan (lapan), beg tangan (tujuh), beg sandang (enam), gelang emas (enam) dan masing-masing dua buah tablet dan kamera," jelasnya.

Sementara itu, Mazlan menegaskan Polis Kuala Lumpur memandang serius kes jenayah ragut dan samun jalanan yang mengakibatkan kesan trauma berpanjangan kepada mangsa dan juga penyumbang utama ketakutan jenayah (fear of crime) dalam kalangan masyarakat di Kuala Lumpur.

"Justeru, Polis Kuala Lumpur akan terus menggiatkan operasi membanteras jenayah ragut dan samun jalanan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di bandaraya ini terjamin," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Bilik Gerakan Khas 24 Jam JSJ Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana–mana balai polis berdekatan.