KUALA TERENGGANU: Sebanyak 187 kes nahas jalan raya direkodkan di Terengganu dalam tempoh enam hari pelaksanaan Op Selamat 17 bermula 28 Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Ismail Man berkata, daripada jumlah itu, sebanyak tiga nahas melibatkan kematian telah dicatatkan di daerah Besut, Dungun dan Marang.

Katanya lagi, setakat ini, daerah Kuala Terengganu merekodkan jumlah kemalangan tertinggi dengan 52 kes, diikuti Kemaman (48), Dungun (23), dan Besut (21).

"Berdasarkan statistik, kadar kemalangan sepanjang Op Selamat 17 meningkat sebanyak 13 kes bagi tempoh yang sama Op Selamat ke-16," kata Ismail ketika dihubungi.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu juga sebanyak 12,257 saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan.

Jelasnya, daripada jumlah itu, sebanyak 2,461 saman melibatkan kesalahan khususnya dalam kalangan penunggang motosikal.

Sementara itu, Ismail berkata pihaknya turut menjalankan beberapa siri operasi termasuk Op Had laju, Op Samseng Jalanan, serta Op Bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Sebanyak 11 tangkapan telah dilakukan atas pelbagai kesalahan termasuk enam kesalahan di bawah 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya, serta satu kes di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Selain itu pihaknya turut mengesan tiga kesalahan di bawah Seksyen 108 APJ 1987 kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dua tangkapan atas kesalahan memiliki dadah.