SEPANG: Duta Besar Malaysia ke Sudan, Mohamad Razdan Jamil menceritakan pengalaman dilaluinya bersama 29 rakyat Malaysia yang lain sepanjang perjalanan mengambil masa 30 jam dari Khartoum ke Pelabuhan Sudan untuk dievakuasi.

Jelas Mohamad Razdan, pemindahan mula dibuat selepas kawasan berhampiran kedutaan turut menerima serangan udara.

"Kita telah berbincang dan membuat penilaian risiko untuk memilih jalan terbaik keluar dari Khartoum.

"Jika kami memilih jalan yang lebih pendek iaitu lebih kurang 850 kilometer (km), kami kemungkinan boleh diserang oleh RSF atau SAF," jelasnya.

Tambah Mohamad Razdan, meskipun memilih perjalanan lebih jauh iaitu berjarak 1,300km ke Pelabuhan Sudan, namun ia paling selamat ketika itu.

"Laluan yang kami ambil ini jauh ke Selatan, salah satu masalah laluan ini kerana keadaan jalannya yang teruk.

"Jadi kami perlu pastikan pemandu kami betul-betul dari kawasan itu sebab mereka lebih mengetahui keadaan muka bumi sepanjang perjalanan," katanya lagi.



Ujarnya, Malaysia tidak menggunakan sebarang kenderaan keselamatan daripada RSF mahupun SAF demi memastikan tidak menjadi sasaran serangan.

"Setiap 50 hingga 80km ada checkpoint, yang kita sendiri tak tahu siapa kuasai.

"Alhamdulilah hampir kesemua checkpoint itu dikuasai tentera kerajaan, dan pemandu bas kami juga ada mengenali pasukan keselamatan. Perjalanan sangat lancar," katanya lagi.

Terdahulu, kesemua 30 rakyat Malaysia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 3.03 petang Jumaat menaiki pesawat Saudi Arabia Airlines.