KUALA LUMPUR: Polis menahan seramai 5,041 individu atas pelbagai kesalahan jenayah dadah menerusi Op Tapis Khas 2 di seluruh negara bermula Isnin lepas hingga Rabu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Khaw Kok Chin berkata tangkapan berkenaan dilakukan di 3,727 lokasi antaranya kawasan Felda, Felcra, projek Perumahan rakyat (PPR) dan perkampungan nelayan.

Katanya Op Tapis dilaksanakan oleh JSJN kontinjen negeri dengan kekuatan 2,340 pegawai dan anggota.

Dalam operasi tersebut, katanya seramai 5,352 individu diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 5,041 orang berusia 14 hingga 80 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.

"Seramai 497 individu disyaki tokan dadah termasuk seorang pelajar sekolah manakala 2,855 penagih dadah termasuk empat penjawat awam, 186 dikehendaki atas pelbagai kesalahan dadah dan 1,503 lagi atas lain-lain kesalahan," katanya dalam kenyataan semalam.

Khaw berkata sepanjang operasi itu, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM324,596 antaranya heroin seberat 2.6 kilogram (kg), syabu 2.6 kg, ketamin 0.4 kg, ganja (1.1 kg), pil erimin 5 (0.4 kg), serbuk ekstasi seberat 7.1 kg, daun ketum seberat 20.9 kg dan 625 liter air ketum.

Menurut beliau pelbagai aset kesemua suspek turut disita mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 iaitu wang tunai berjumlah RM110,440, kenderaan (RM595,500),barang kemas (RM163,599) dan jam tangan bernilai RM500.


Khaw berkata objektif operasi berkenaan adalah untuk mengesan dan menangkap tokan dadah di sekatan jalan raya, memusnahkan lokasi penagihan dadah, tindakan atas penagih tegar, menangkap suspek dikehendaki kesalahan dadah serta tindakan pencegahan ke atas pengedar dadah yang dikenal pasti.

Beliau berkata sejak Op Tapis Khas 2024 dilancarkan Jan lepas, seramai 10,832 orang ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dan pelbagai jenis dadah bernilai RM934,668.29 berjaya dirampas

Katanya masyarakat yang ingin menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka boleh berbuat demikian melalui hotline JSJN di 012-208 7222.

-- BERNAMA