BUKIT KAYU HITAM:Kawalan dan rondaan di sempadan Malaysia-Thailand akan dilaksanakan secara bersepadu membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) mulai tahun depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Op Bersepadu ini akan menggantikan Op Benteng sedia ada ketika ini bagi memastikan kawalan di sempadan lebih ketat seterusnya mengurangkan aktiviti penyeludupan serta pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Pihak tentera tidak mempunyai kuasa menangkap melainkan musuh dalam peperangan. Dalam keadaan seperti ini, PATI dan penyeludup tidak dianggap musuh mengikut akta tentera.

"Jadi, polis dan Aksem ada kuasa untuk membuat tangkapan. Sebab itu kita akan laksanakan kawalan secara bersepadu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat lawatan kerja di Kem Penempatan Tentera Darat dan kawasan operasi di Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Beliau turut memaklumkan, bagi memperkasakan kawalan di sempadan, ATM telah menambah aset senjata dan peralatan seperti 36 motosikal 'scrambler' berkuasa tinggi dan lapan kenderaan pelbagai permukaan (ATV).

Malah katanya, penggunaan aset udara seperti dron telah ditambah di sepanjang laluan 24 kilometer dari Bukit Kayu Hitam sehingga Durian Burung di daerah Padang Terap.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mencadangkan pada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sempadan bagi membantu kawalan.

Sementara itu, Ismail turut memaklumkan pihak kementerian telah membuka tender untuk pembelian tambahan baju kalis peluru, helmet dan binokular penglihatan malam yang dijangka diperolehi awal Februari tahun hadapan.

Dalam kejadian 24 November lalu, dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) diserang penyeludup di kawasan sempadan Malaysia-Thailand berdekatan Padang Besar, menyebabkan seorang daripada mereka terkorban.