GEORGE TOWN: Operasi pembenihan awan di dua kawasan tadahan air di Pulau Pinang dijangka bermula hujung bulan April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Ir K Pathmanathan, berkata proses itu bagi memastikan empangan berkenaan yang kian menyusut kembali terisi dengan air.

Pathmanathan berkata, pada Isnin kadar efektif air di empangan Air Itam menyusut lagi kepada 44.8 peratus berbanding 46.1 peratus, minggu  lalu.

Manakala, empangan Teluk Bahang pula merekodkan penyusutan daripada 49.8 peratus kepada 48.6 peratus.

Beliau berkata, kadar efektif kedua-dua empangan itu masing-masing sebanyak 82.5 peratus dan 64 peratus pada 1 Januari lalu namun kini menyusut antara 37.7 peratus dan 15.4 peratus disebabkan hujan yang rendah.

Berikutan itu, Pathmanathan berkata Pulau Pinang memerlukan operasi pembenihan awan dan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka akan membantu melaksanakannya mulai akhir bulan ini.

"Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah mengesyorkan jangka masa dari 29 April hingga 7 Mei  untuk gelombang pertama operasi yang akan dijalankan di Pulau Pinang bagi tahun tahun ini.

"Keadaan cuaca harus sesuai untuk memaksimumkan kesan operasi pembenihan awan bagi mendorong hujan lebat di kedua-dua kawasan tadahan air berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Pathmanathan berkata, pihaknya akan melaporkan hasil gelombang pertama pembenihan awam iaitu berkaitan status empangan apabila ia selesai kelak.

"Dalam hal ini, ia akan mengambil masa beberapa hari, selepas misi pembenihan awan TUDM dijalankan, untuk hujan berlaku dan air hujan mengalir ke empangan.

"Bergantung pada keputusan dan keadaan, PBAPP juga boleh memohon peruntukan tambahan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membiayai gelombang kedua operasi pembenihan awan tambahan bagi menambah rizab empangan Pulau Pinang," katanya.

Sementara itu, Pathmanathan berkata, pihaknya sekali lagi menggesa penduduk negeri ini supaya mengurangkan penggunaan air harian mereka dengan mengamalkan langkah penjimatan seperti yang disyorkan.

"Kita mengingatkan kerana kedua-dua ini tidak diisi semula kepada kapasiti 100 peratus pada penghujung 2022 kerana hujan yang rendah di kawasan tadahan air tahun lalu.

"Sementara penggunaan air domestik merekodkan 868 juta liter sehari (JLH) tahun lalu dan ia meningkat kepada 944 JLH pada Februari tahun ini yang memerlukan pengguna perlu berjimat supaya tidak berdepan dengan krisis air," katanya.

Terdahulu, Kerajaan Pulau Pinang meluluskan bajet RM400,000 bagi membiayai operasi pembenihan awan di negeri itu.

Bagaimanapun, tiada syarikat daripada sektor swasta yang dapat memenuhi kriteria dan syarat yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sehingga bantuan daripada Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA) diperlukan.