Operasi mencari dan menyelamat (SAR) peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang dilaporkan hilang sejak 23 Mac lalu ditangguhkan sementara mulai hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata keputusan itu dibuat setelah tiada petunjuk baharu yang diperoleh pasukan penyelamat dan pasukan siasatan selepas 25 hari pencarian.

Menurutnya, mangsa masih belum ditemukan walaupun operasi mencari dan menyelamat telah menggunakan pelbagai kaedah terkini dan pasukan yang berpengalaman selain peluasan kawasan pencarian daripada 35 kepada 48 kilometer persegi.

“Penangguhan ini juga bagi membolehkan pasukan penyelamat merangka strategi lain yang mungkin boleh membantu mengesan mangsa berdasarkan kepada pengalaman kes seumpama ini yang pernah berlaku pada masa lepas,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Selain itu, kata beliau, ia juga memberi ruang kepada keluarga mangsa untuk bertenang dan memikirkan alternatif lain dalam pencarian mangsa bagi mengelakkan keluarga menjadi sasaran kepada berita ataupun kenyataan yang tidak benar daripada masyarakat.

“Ia juga mengehadkan pergerakan pencarian oleh orang ramai di kawasan terlibat sehingga boleh mengganggu sensitiviti masyarakat selain memberi ruang kepada penduduk melaksanakan tindakan mengesan mangsa dalam konteks setempat,” ujarnya.

Beliau memberitahu operasi pencarian peringkat pertama telah dimulakan sehari selepas mangsa dilaporkan hilang sebelum dihentikan pada 30 Mac.

Bagaimanapun, ia disambung semula di peringkat kedua sehingga kini tetapi masih tidak menemukan petunjuk baharu bagi merungkai misteri kehilangan mangsa.

Dalam kejadian 23 Mac lalu, Mohammad Ashraf atau lebih dikenali sebagai Acap dilaporkan hilang ketika mengambil bahagian dalam acara larian kategori 25 kilometer yang bermula dan berakhir di Gua Tempurung.