Susulan pembukaan sesi persekolahan hari ini, kerajaan dijangka memutuskan operasi pusat tuisyen swasta dan surau-surau di sekolah dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri pada Jumaat ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, prosedur operasi standard (SOP) berhubung perkara itu akan dibentangkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPM) nanti.

"Menteri Pendidikan (Dr Mohd Radzi Md Jidin) akan bentangkan, bukan sahaja tuisyen tetapi surau-surau di sekolah... apabila sekolah dibuka, surau perlu digunakan.

"Jadi semua perkara tersebut akan dibentangkan dan diputuskan oleh Mesyuarat Khas Menteri-Menteri, Jumaat ini," katanya dalam sidang media, di sini pada Rabu.

Radzi sebelum ini mengumumkan sekolah akan dibuka semula hari ini membabitkan pelajar Tingkatan Lima dan Enam yang akan menduduki peperiksaan awam, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.