MALAYSIA
Operasi Puspakom cawangan Wangsa Maju dilanjutkan hingga Jun 2026

Menteri Pengangkutan Anthony Loke ketika sidang media selepas membuat tinjauan di Puspakom Wangsa Maju, Jalan Genting Klang, hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan bersetuju untuk melanjutkan pengoperasian Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) cawangan Wangsa Maju hingga Jun tahun depan.
Ringkasan AI
- Pengoperasian Puspakom cawangan Wangsa Maju dilanjutkan hingga 30 Jun 2026 kerana pembinaan cawangan baharu di Bukit Beruntung belum siap.
- Lokasi Puspakom Wangsa Maju berhampiran sekolah menyebabkan kesesakan, dan beberapa syarikat baharu akan mula beroperasi awal tahun depan untuk mengurangkan masalah ini.
- Kerajaan sedang memuktamadkan kontrak pencarian pesawat MH370 dengan Ocean Infinity dan akan memulakan semula pencarian di kawasan baharu di Selatan Lautan Hindi.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Datuk Aedy Fadly Ramli.
Loke berkata usaha memindahkan pengoperasian Puspakom cawangan Wangsa Maju telah lama dibincangkan susulan kedudukannya yang berhampiran dengan beberapa buah sekolah.
"Terdapat satu lorong kecil menuju ke Puspakom ini dan ia berkongsi laluan dengan sekolah, saya banyak menerima aduan daripada guru dan ibu bapa pelajar memberitahu mereka tidak dapat hadir ke sekolah pada waktu yang tepat kerana jalan menuju ke sekolah telah dipenuhi dengan kenderaan termasuk kenderaan berat sejak awal pagi kerana hendak melakukan pemeriksaan," katanya.
Loke menjangka menjelang awal tahun depan kesesakan di kawasan berkenaan akan dapat dikurangkan susulan beberapa syarikat baharu yang mendapat kelulusan untuk melaksanakan Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) akan mula beroperasi.
Sementara itu mengulas mengenai pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370, Loke berkata pihaknya sedang giat memuktamatkan kontrak pencarian dengan Ocean Infinity (United Kingdom).
"Apabila kita tandatangan (kontrak pencarian) kita akan beritahu," katanya.
Pada Sabtu lepas Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan memaklumkan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 13 Dis lepas, kerajaan bersetuju menerima cadangan Ocean Infinity (United Kingdom) bagi memulakan semula operasi pencarian di kawasan baharu seluas kira-kira 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami