IPOH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang anggota bomba sukarela yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh bot malam tadi, disambung semula jam 8 pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan, operasi akan dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
Advertisement
Menurutnya, pasukan itu akan menyelam bagi pencarian mangsa antara 100 dan 150 meter dari tebing, dengan kedalaman 15 meter, di tempat mangsa dipercayai tenggelam.
“Mereka telah membuat tinjauan di lokasi kejadian dengan membuat ujian kedalaman air di lokasi dipercayai mangsa tenggelam, malam tadi,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam kejadian itu, mangsa, Jun Cheng Siew, 25 tahun, ahli Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Menglembu, sedang menjalankan aktiviti latihan dan pengujian bot di tasik di Bandar Baru Lahat Mines, Lahat.
Sabarodzi berkata, latihan bermula pada jam 4 petang melibatkan seramai 16 anggota PBS, masing-masing tujuh daripada PBS Menglembu dan PBS Pekan Baru serta dua daripada PBS Pasir Pinji, dengan menggunakan tiga buah bot.
Katanya, pada peringkat awal latihan, mangsa dimaklumkan memakai Personal Flotation Device (PFD), namun setelah latihan hampir selesai sekitar jam 7.10 malam, mangsa kembali menaiki bot tanpa memakai PFD bersama-sama seorang pemandu.
Menurutnya, kedua-dua mereka dipercayai terjatuh ketika pemandu bot membuat pusingan U di tengah tasik dan pemandu bot cuba menyelamatkan mangsa namun turut terjatuh ke dalam tasik.
Ujarnya, pemandu bot kemudiannya berjaya diselamatkan oleh rakan PBS yang lain manakala mangsa dipercayai telah tenggelam ke dalam tasik.
Menurutnya, jarak mangsa dipercayai terjatuh dianggarkan kira-kira 150 meter dari tebing.