IPOH: Seorang anggota pasukan bomba sukarela (PBS) dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sebuah tasik berhampiran Jalan Lahat Mines, Bandar Baru Lahat Mines di sini semalam.
Panggilan kecemasan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh pada jam 7.27 malam melibatkan mangsa berusia 25 tahun dari PBS Menglembu.
Advertisement
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa dipercayai menjalankan aktiviti latihan dan pengujian bot bersama seorang lagi individu ketika kejadian berlaku.
“Bagaimanapun, mangsa bersama pemandu bot dipercayai terjatuh ke dalam tasik sebelum mangsa dilaporkan tenggelam.
“Pemandu bot berjaya diselamatkan manakala mangsa masih belum ditemui,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat dijalankan dengan kekuatan tujuh anggota menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
"Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam tasik pada jarak kira-kira 150 meter dari tebing dan usaha pencarian sedang giat dijalankan oleh pasukan penyelamat," katanya. - Sinar Harian